Hong Kong sasar media lagi

Chan pernah disoal siasat pada tahun lalu ketika beliau bekerja dengan Stand News selepas platform tersebut didakwa menerbitkan bahan menghasut. - Foto: Agensi
Chan pernah disoal siasat pada tahun lalu ketika beliau bekerja dengan Stand News selepas platform tersebut didakwa menerbitkan bahan menghasut. - Foto: Agensi
A
A
A

HONG KONG - Ketua kumpulan wartawan terbesar Hong Kong ditahan pada Rabu, beberapa minggu sebelum beliau dijadualkan meninggalkan bandar raya tersebut untuk mengikuti program selama enam bulan tajaan Reuters Institute di Oxford University.

Sumber polis memaklumkan, penahanan Presiden Persatuan Wartawan Hong Kong (HKJA), Ranson Chan itu dibuat selepas beliau didakwa menghalang tugas anggota keselamatan dan mencetuskan kekacauan di tempat awam yang merupakan tuduhan terbaharu dilemparkan ke atas petugas media berpengaruh di pusat kewangan antarabangsa itu.

Rangkaian saluran berita dalam talian, Channel C turut mengesahkan wartawan veteran itu diberkas oleh pihak berkuasa yang pada mulanya meminta untuk memeriksa kad pengenalannya ketika beliau sedang membuat liputan tentang mesyuarat pemilik perumahan flat awam.

Difahamkan, Chan juga pernah berkhidmat untuk tabloid pro-demokrasi, Apple Daily dan platform berita dalam talian, Stand News yang diarahkan untuk menutup operasi tahun lalu kerana didakwa melanggar peraturan keselamatan negara hingga mengakibatkan ratusan wartawan hilang pekerjaan.

Pada Disember tahun lalu, Chan pernah disoal siasat ketika beliau bekerja dengan Stand News selepas platform tersebut didakwa menerbitkan bahan menghasut.

Sehingga kini, pihak berkuasa masih menggunakan undang-undang keselamatan kontroversi dan mengenakan tuduhan menghasut era kolonial terhadap golongan penentang di hab kewangan Asia tersebut.

Selain itu, tindakan tegas turut diambil terhadap media tempatan yang secara lantang mengkritik pemerintah yang dilihat sebagai cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara setelah protes prodemokrasi tercetus tiga tahun lalu.

Pada Mei lalu, laporan tahunan dikeluarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) menunjukkan ranking kebebasan media di Hong Kong telah menjunam daripada tangga 68 ke kedudukan 148.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, pihak berkuasa turut menahan taikun media, Jimmy Lai di bawah undang-undang keselamatan negara yang menyaksikan beliau berdepan beberapa pertuduhan dan masih meringkuk di penjara hingga kini. - AFP