Aib ibu bapa perlu dijaga, guna saluran betul: Mufti Kedah

Fadzil Awang
Fadzil Awang
A
A
A

ALOR SETAR - Individu yang menghadapi masalah melibatkan maruah ibu bapa perlu menggunakan saluran betul untuk menyelesaikannya dan bukan mendedahkan keaiban tersebut kepada umum.

Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang berkata, aduan berkenaan boleh disalurkan kepada agensi agama untuk diselesaikan termasuk dalam usaha untuk memulihkan keadaan semasa.

Menurutnya, agama Islam menitikberatkan agar anak-anak menghormati dan memuliakan kedua ibu bapa dalam apa jua keadaan.

"Tidak sepatutnya didedahkan kepada umum tentang apa yang berlaku. Ia boleh mencalarkan imej dan maruah ibu bapa.

"(Isu ini) boleh disalurkan kepada agensi-agensi agama dan jabatan mufti yang berperanan untuk memulihkan keadaan.

Fadzil (tengah) menerima zakat perniagaan daripada wakil Syarikat Sada.
Fadzil (tengah) menerima zakat perniagaan daripada wakil Syarikat Sada.

"Ini adalah pandangan dari sudut agama membabitkan isu anak dan bapa," katanya semasa ditemui pemberita di Menara Zakat Kedah, Alor Setar pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas laporan seorang pelakon remaja berusia 15 tahun yang mendedahkan sikap buruk bapanya dalam satu program broadcast di YouTube baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Fadzil berkata, dari sudut agama Islam juga, melakukan sesuatu perkara yang boleh mengguris hati boleh dianggap salah dan tidak wajar dilakukan.

"Kita harap kepada masyarakat jagalah kemuliaan ibu yang melahirkan dan bapa yang membesarkan kita.

"Tanggungjawab mesti dilakukan walau apa keadaan yang dilakukan mereka," ujar beliau.