Penganggur cetak rompak filem didenda RM10,000

Penganggur cetak rompak filem didenda RM10,000.
Penganggur cetak rompak filem didenda RM10,000.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang penganggur dikenakan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah melakukan cetak rompak karya filem melalui aplikasi Telegram.

Ahmad Fairuzaman Ahmad Bolia, 46, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Berdasarkan pertuduhan, OKS didapati dengan cara dagangan mempamerkan kepada awam lima salinan langgaran karya filem melalui aplikasi Telegram Ahmad Faibers yang ditunjukkan dalam bentuk bergerak termasuk bunyi bagi lima filem hak milik sebuah syarikat penyiaran tatkala hak cipta wujud dan masih wujud bagi syarikat itu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Melor, di sini, jam 10 malam pada 18 Mac 2021.

Oleh demikian OKS telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1)(e) Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41(1)(i) akta yang sama.

OKS boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap langgaran atau dipenjara bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azmil Aspara manakala OKS tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap OKS dan memerintahkan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu. OKS membayar denda tersebut.

Artikel Berkaitan: