Najib keluarkan 38 cek berjumlah RM8.4 juta

Najib diiringi anggota polis dan pihak dari Jabatan Penjara tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu, bagi perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB. - Foto Bernama
Najib diiringi anggota polis dan pihak dari Jabatan Penjara tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu, bagi perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Pengurus Kanan Bahagian Pusat Pemprosesan Cek AmBank (M) Berhad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengeluarkan 38 cek berjumlah RM8.4 juta kepada individu, BN, UMNO Bahagian dan syarikat antara tahun 2011 hingga 2012.

Saksi pendakwaan ke-36, Badrul Hisam Mohamad berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya, dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri.

Saksi berusia 48 tahun itu berkata, antara penerima cek terbabit ialah bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam, bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Lim Soon Peng.

Najib, 69, turut mengeluarkan cek kepada UMNO Bahagian Pekan berjumlah RM200,000, Wanita UMNO Bahagian Pekan (RM170,000), Wanita UMNO Selangor (RM1.9 juta), UMNO Selangor (RM2 juta), BN Bahagian Bandar Tun Razak (RM200,000) dan UMNO Bahagian Machang (RM400,000).