Najib fail semakan keputusan Mahkamah Persekutuan

Najib ketika tiba di Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu. 

- Foto Bernama
Najib ketika tiba di Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu. 

- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada Ogos lalu, berhubung rayuan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Najib, 69, memfailkan notis itu pada jam 4 petang Selasa, melalui Tetuan Shafee & Co dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.

Perkara itu disahkan oleh peguamnya, Rahmat Hazlan.

Menerusi notis usul yang diperoleh, Najib menfailkan permohonan untuk menyemak keputusan kemasukan bukti baharu membabitkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, membuat permohonan itu bagi menyemak semula keputusan yang menolak penangguhan prosiding utama dan isu menggugurkan Ketua Hakim Negara daripada rayuan itu.

Ia turut membabitkan keputusan kes SRC dan penangguhan pelaksanaan sabitan serta hukuman sementara menunggu perbicaraan permohonan semakan itu.

“Pasukan pembelaan yang baharu tidak diberikan peluang untuk bersedia dalam rayuan akhir itu.

“Pendengaran rayuan akhir itu telah dijalankan secara sebelah pihak (ex-parte) apabila tiada hujahan daripada pihak pembelaan dilakukan,” kata notis tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana SRC.

Panel lima hakim dipengerusikan oleh Tengku Maimun sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat ketetapan yang tepat dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Susulan keputusan itu, Najib diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.