25 guru di Kuala Muda tawan puncak Kerunai

Seramai 25 orang guru sekolah rendah dan menengah di Daerah Kuala Muda, Kedah berjaya mendaki Gunung Kerunai, Gerik, Perak.
Seramai 25 orang guru sekolah rendah dan menengah di Daerah Kuala Muda, Kedah berjaya mendaki Gunung Kerunai, Gerik, Perak.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 25 orang guru sekolah rendah dan menengah di Daerah Kuala Muda menyemarakkan semangat patriotik dengan cara menghayati keindahan alam melalui pendakian Gunung Kerunai, Gerik, Perak.

Penyelaras program, Shahrul Izwan Mansor berkata, aktiviti itu dilakukan sempena meraikan kemerdekaan negara kali ke-65, Sabtu lalu.

Menurutnya, program anjuran Kelab Rekreasi Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani itu mendapat sambutan daripada guru sekolah rendah dan menengah yang meminati sukan lasak serta aktif dalam pendakian.

"Selain bersukan dan menghayati keindahan alam, ia juga salah satu cara memberi kesedaran kepada orang ramai agar sama-sama mempertahankan dan memelihara khazanah negara yang cukup bernilai.

"Bila kita mendaki dan merasai pengalaman ini, baru kita tahu sebenarnya hutan dan gunung yang dimiliki ini perlu dipelihara untuk tatapan generasi akan datang," katanya.

Ketinggian Gunung Kerunai, Gerik yang mencecah 1,000 meter dari aras laut menjadi pilihan disebabkan keunikan, keindahan dan kecantikan panorama terutama setelah berada di puncak.

"Keadaan gunung dan juga struktur pendakian yang berliku dan curam, mencabar mental dan fizikal pendaki sekali gus mampu meredakan tekanan serta memberi peluang kepada guru melupakan seketika kesibukan tugas," jelasnya.

Shahrul Izwan berkata, kerjasama semua peserta telah melancarkan pendakian sehingga berjaya sampai ke puncak tanpa sebarang kejadian tidak diingini memandangkan setiap peserta sentiasa diingatkan agar menitikberatkan aspek keselamatan.

Artikel Berkaitan:

"Sempena Hari Kemerdekaan, kami tidak lupa untuk mengibarkan jalur gemilang dan sempat merakamkan gambar ketika sampai ke puncak sebagai kenangan," katanya.