Tiada gerak kerja bersepadu punca sekolah terus ketinggalan

Dr Maszlee
Dr Maszlee
A
A
A

SHAH ALAM - Konsep bekerja secara sendirian melibatkan kementerian tertentu dan jabatan kerajaan menjadi punca kebanyakan sekolah di pedalaman Sarawak terus ketinggalan.

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kelemahan ketara apabila kementerian tertentu hanya mahu menjaga tanggungjawab masing-masing.

“Sebagai contoh dalam kawasan sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di luar sekolah pula bawah kuasa kerajaan negeri. Inilah masalah dan musibah besar apabila kita melihat isu pendidikan ini dalam keadaan hanya menjaga kawasan masing-masing,” katanya dalam program bual bicara di Twitter Zack RockStar pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai salah guna kuasa melibatkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang sebelum ini didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Jelasnya, jika Pakatan Harapan (PH) dipilih semula menjadi kerajaan, perkara pertama yang akan dilakukan ialah memastikan setiap kerja dan tugasan dijalankan secara holistik dan bersepadu.

“Isu sekolah tidak ada bekalan elektrik, kita kena lihat apakah keperluan set generator itu dikala tiang elektrik dalam jarak 100 meter,kadang-kadang 50 meter dan ada di hadapan sekolah.

"Paling jauh saya pernah pergi 500 meter ke satu kilometer, mengapa tidak ditarik sahaja kabel elektriknya? soal Maszlee.

Beliau turut memahami projek berkenaan menelan kos dan belanja yang besar namun ianya masih boleh diselaras jika masing-masing tidak bekerja secara sendirian.

Artikel Berkaitan:

“Kenapa jadi macam ini sebab projek besar seperti membekalkan elektrik ke sekolah mereka tahu kalau dibuat bersekali dengan semua kementerian maka tak boleh buat tender secara rundingan terus dan tak boleh bagi kepada syarikat kroni,” katanya yang juga merupakan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tambah Maszlee lagi, pada tahun 2021, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah bertitah untuk disediakan pelan jangka masa panjang pendidikan pasca Covid-19.

“Tuanku titahkan supaya diwujudkan usaha terangkum melibatkan pihak merentasi ideologi, kepartian, politik,kepakaran bersama-sama menggarap pelan jangka masa panjang pendidikan pasca Covid-19.

“Dua tahun sudah cukup untuk memberikan kesan 10 tahun akan datang tetapi sampai sekarang titah Tuanku itu diabaikan,” ujarnya.