MUIP agih bantuan lebih RM107 juta kepada 137,524 penerima

Dr Asmadi ketika melawat dan menyerahkan bantuan kepada Mohd Hairol di Felda Bukit Goh di sini minggu lalu.
Dr Asmadi ketika melawat dan menyerahkan bantuan kepada Mohd Hairol di Felda Bukit Goh di sini minggu lalu.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan lebih RM107 juta bagi bantuan kewangan kepada 137,524 penerima di Pahang dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan kewangan terbanyak membabitkan pembiayaan zakat berjumlah RM68.9 juta kepada 103,219 penerima.

"Sebanyak RM19.9 juta disalurkan untuk bantuan pendidikan kepada 16,720 pelajar termasuk penuntut yang sedang belajar di pusat pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

"Sebanyak RM12.8 juta lagi untuk pengurusan hal ehwal Islam (15,491 penerima), diikuti pembangunan asnaf berjumlah RM2.8 juta (186 penerima) dan RM2.7 juta untuk pembangunan modal insan (1,908 penerima)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, agihan bantuan kepada golongan memerlukan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun ini dan jumlahnya bertambah setiap tahun.

"Wang zakat yang dibayar pembayar zakat di negeri perlu segera diagihkan dalam usaha membantu golongan yang layak dan memerlukan.

"MUIP dan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang sentiasa berusaha memberi kesedaran kepada penduduk di negeri yang layak membayar zakat supaya berbuat demikian," katanya.

Sementara itu Dr Asmadi berkata, MUIP juga telah membantu seorang pesakit angin ahmar, Mohd Hairol Yusof, 43, di Felda Bukit Goh di sini minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Pihak MUIP telah menghulurkan bantuan segera RM2,000 dan meluluskan pemohonan bantuan bulanan RM800 sebulan bagi meringankan beban keluarga pesakit.

"Justeru itu, bagi umat Islam di negeri ini yang menghadapi kesempitan hidup disebabkan penyakit kronik, kemiskinan, tiada tempat tinggal dan tiada perbelanjaan untuk melanjutkan pengajian boleh menghubungi pihak MUIP untuk mendapatkan bantuan" katanya.

Menurutnya, MUIP menyediakan pelbagai bantuan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung golongan yang memerlukan.

"Kita juga minta penghulu, ketua kampung, jiran dan amil zakat fitrah memainkan peranan menyalurkan maklumat," katanya.