ZPP agih saguhati Ramadan RM416,000 kepada 208 masjid

Dr Roslan (dua dari kiri) menyampaikan replika cek saguhati pengimarahan masjid bagi solat tarawih kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah Seberang Perai Tengah, Mohamad Fazli Zain di Masjid Jamek Kubang Ulu, Bukit Mertajam sambil diperhatikan Amran (kiri).
Dr Roslan (dua dari kiri) menyampaikan replika cek saguhati pengimarahan masjid bagi solat tarawih kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah Seberang Perai Tengah, Mohamad Fazli Zain di Masjid Jamek Kubang Ulu, Bukit Mertajam sambil diperhatikan Amran (kiri).
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengagihkan saguhati wang tunai RM2,000 kepada 208 masjid di seluruh negeri ini dengan jumlah keseluruhan RM416,000 bagi tujuan pengimarahan masjid untuk solat tarawih sempena Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, agihan itu bertujuan untuk meringankan beban pihak masjid yang perlu membelanjakan wang bagi menyambut bulan Ramadan.

Menurutnya, agihan seumpama itu pertama kali dilaksanakan ZPP bagi pengimarahan solat tarawih kepada masjid-masjid di Pulau Pinang.

"Dalam bulan Ramadan yang penuh barakah dan mulia ini, ZPP sememangnya berhasrat menjadi institusi yang dekat masyarakat Muslim khusus para muzakki dan mustahiq di Pulau Pinang dalam melaksanakan kefardhuan yang diperintahkan oleh ALLAH SWT khasnya dalam penyempurnaan rukun Islam ketiga iaitu ibadah zakat.

"Oleh yang demikian, saya sangat maklum bahawa kerja-kerja pengimarahan ini memerlukan dana yang khusus bagi melengkapkan keperluan dan kelengkapan lain untuk memberikan keselesaan kepada para jemaah masjid supaya dapat beribadat dalam suasana yang kondusif," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Saguhati Pengimarahan Masjid Bagi Solat Tarawih Kepada Masjid-Masjid Negeri Pulau Pinang dan Saguhati Hari Raya Kepada Fakir Miskin Tahun 2023 di Masjid Jamek Kubang Ulu di sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dr Roslan Ahmad.

Amran berkata, beliau berharap agar agihan saguhati tersebut dapat diteruskan untuk tahun seterusnya.

Amran (kiri) bersama Dr Roslan (dua dari kiri) menyampaikan bantuan saguhati kepada salah seorang asnaf yang layak di Masjid Jamek Kubang Ulu pada Khamis.
Amran (kiri) bersama Dr Roslan (dua dari kiri) menyampaikan bantuan saguhati kepada salah seorang asnaf yang layak di Masjid Jamek Kubang Ulu pada Khamis.

"Tahun ini merupakan tahun pertama kita adakan agihan saguhati kepada masjid di negeri ini. Kita berharap agihan seperti ini boleh diteruskan pada tahun-tahun akan datang. Semuanya bergantung kepada dana yang kita ada, jika cukup atau lebih, kita akan teruskan malah (kita) boleh bagi lebih daripada itu.

"Apa-apa pun agihan bergantung penuh kepada sejauh mana kita mengumpul zakat di Pulau Pinang. Sebab itu, saya minta semua masyarakat Islam yang layak bayar zakat supaya bayar supaya lebih ramai boleh kita bantu," ujarnya.

Dalam pada itu, Amran berkata, ZPP menyalurkan sebanyak RM5.37 juta bantuan saguhati berbentuk wang tunai kepada 8,764 orang asnaf fakir dan miskin di seluruh Pulau Pinang.

Kata beliau, bantuan yang disalurkan melalui program Bantuan Saguhati Hari Raya Fakir dan Miskin 2023 itu dibuat sebelum Syawal bagi mengurangkan beban golongan tersebut.

"Sumbangan saguhati ini diadakan secara tahunan merupakan suatu inisiatif agihan zakat yang dilaksanakan oleh ZPP bagi meringankan beban penerima dalam kalangan asnaf di Pulau Pinang untuk menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal.

"Sebanyak RM5.37 juta diperuntukkan yang merangkumi wang tunai RM700 setiap asnaf fakir dan RM600 setiap asnaf miskin. Setakat ini, saguhati melibatkan wang tunai ini adalah yang tertinggi antara semua negeri.

"Jumlah yang diterima oleh asnaf ini adalah berdasarkan peruntukan yang telah diluluskan merujuk kepada kutipan zakat fitrah sebanyak RM6.59 juta yang telah dipungut," katanya.

Amran menambah, sumbangan agihan bagi saguhati hari raya itu adalah sepenuhnya daripada dan agihan ZPP.

"Pendekatan yang digunakan oleh ZPP bagi penyalurannya adalah menerusi kerjasama dengan pihak kariah masjid yang berperanan sebagai mengenal pasti asnaf dan penyaluran sumbangan bantuan menerusi akaun masjid masing-masing.

"Penyaluran saguhati hari raya ini telah dilaksanakan secara berperingkat bermula 10 April yang lalu," katanya.