360 notis dikeluarkan dalam operasi bersepadu PPKHT 2004

Operasi bersepadu selama dua hari itu mengeluarkan 360 notis dengan nilai kompaun sebanyak RM87,800. -Foto: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang
Operasi bersepadu selama dua hari itu mengeluarkan 360 notis dengan nilai kompaun sebanyak RM87,800. -Foto: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang
A
A
A

KUANTAN - Merokok di tempat larangan adalah kesalahan tertinggi yang dicatatkan dalam operasi bersepadu Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang sempena cuti sekolah selama dua hari di daerah Kuantan dan Bentong bermula Jumaat lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak 347 notis dikeluarkan bagi kesalahan tersebut di bawah Peraturan 11(1) PPKHT 2004 daripada jumlah keseluruhan, 360 notis kesalahan dengan nilai kompaun RM87,800 menerusi operasi terbabit.

Menurutnya, sebanyak 387 lokasi diperiksa melibatkan tempat tumpuan awam seperti premis makan, premis perniagaan, pusat membeli-belah, hentian pengangkutan awam dan kawasan rehat dan rawat (R&R) melibatkan seramai 147 pegawai.

"Sebanyak 160 notis melibatkan lokasi kompleks membeli-belah, tempat makan (96), hentian pengangkutan awam (59) R&R (27) dan stesen minyak (5).

"Baki 13 notis kesalahan lagi melibatkan orang belum dewasa (OBD) merokok (11) dan selebihnya pemilik premis gagal memastikan tiada orang merokok," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Anggota yang terlibat dalam operasi bersepadu tersebut mengeluarkan notis kepada mereka yang dikesan melakukan kesalahan. - Foto: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang
Anggota yang terlibat dalam operasi bersepadu tersebut mengeluarkan notis kepada mereka yang dikesan melakukan kesalahan. - Foto: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang

Dalam pada itu, Nor Azmi berkata, pihaknya turut mengeluarkan 6,039 notis kesalahan dengan jumlah kompaun sebanyak RM 1,443,700 di bawah PPKHT 2004 bagi tempoh dari 1 Januari hingga 31 Ogos 2022.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan jumlah notis tersebut, kesalahan utama yang berlaku adalah merokok di tempat larangan merokok sebanyak 5445 notis (90.2 peratus) OBD

merokok 464 (7.7 peratus), penjualan rokok bawah harga minimum sebanyak 55 notis (0.9 peratus) dan lain-lain kesalahan melibatkan 75 notis (1.2 peratus)

"Jabatan Kesihatan Negeri Pahang sentiasa menjalankan penguatkuasaan PPKHT 2004 bagi membendung kesalahan merokok yang boleh menjejaskan kesejahteraan keluarga Malaysia selaras dengan usaha kerajaan dalam langkah persediaan ke arah dasar generasi penamat, Generational End Game (GEG)," kata Nor Azimi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, mereka yang ingin berhenti merokok boleh melayari laman sesawang jomquit.com.