'Bantah lantikan pihak luar dalam operasi Tourism Malaysia' - KPPLPPM

Siaran media KPPLPPM.
Siaran media KPPLPPM.
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) membantah cadangan untuk melantik pihak luar menerusi pentadbiran dan pengeoperasian Tourism Malaysia dalam dan luar negara.

Presidennya, Alwi Shakir Abdullah mendakwa cadangan tersebut tidak rasional dan dikhuatiri akan mengganggu hal ehwal kebajikan kakitangan Tourism Malaysia terutama dari segi peluang kenaikan pangkat.

Menurutnya, urus tadbir Tourism Malaysia perlu dilaksanakan berlandaskan peraturan yang berkuat kuasa termasuk melantik dan menempatkan kakitangan di pejabat dalam dan luar negara.

Tambahnya lagi, perkara tersebut telah dibincangkan malah dipersetujui sebelum ini di antara pihak Kesatuan dan pengurusan dalam Majlis Bersama Jabatan (MBJ) melalui penetapan kriteria pemilihan serta pelantikan penempatan pegawai-pegawai Tourism Malaysia.

"Melantik pihak luar yang tidak mempunyai latar belakang pentadbiran kerajaan mahupun industri pelancongan akan menimbulkan permasalahan dalam urusan perolehan dan tatacara kewangan kerajaan yang kompleks.

"Ia memerlukan pemahaman yang amat mendalam sebelum sesuatu proses perolehan dilaksanakan.

"Pegawai kerajaan yang berpengalaman lebih 20 tahun juga seringkali menerima teguran audit dalam hal perolehan apatah lagi seseorang yang tidak mempunyai pemahaman sistem kerajaan yang ingin dilantik kononnya untuk mengetuai pejabat-pejabat Tourism Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Alwi Shakir berkata, pihaknya juga membantah perancangan dakwaan melantik sewenang-wenangnya individu luar yang diragui latar belakang untuk menganggotai pentadbiran Tourism Malaysia selain menukar pegawai sedia ada ke agensi lain.

Jelas beliau, pihaknya ingin mengingatkan sekali lagi bahawa proses pertukaran dan pelantikan hendaklah berlandaskan peraturan semasa yang berkuatkuasa serta bukannya dengan memberi arahan secara membuta tuli tanpa memahami peraturan kerajaan sepenuhnya.

"Arahan-arahan dikeluarkan secara membuta tuli dan tanpa melalui sebarang rundingan dengan pihak pekerja merupakan satu tindakan membelakangkan Konvensyen 98 Pertubuhan Buruh Antarabangsa hak berunding yang diamalkan di Malaysia melalui Akta Kesatuan Sekerja dan Akta Perhubungan Perusahaan," jelasnya.

Justeru, beliau berkata, pihak kesatuan tidak teragak-agak melaksanakan tindakan perusahaan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja untuk melaksanakan piket dan mogok sekiranya dakwaan cadangan tersebut masih berkeras dan menekan Tourism Malaysia dalam melaksanakan arahan tersebut.

Ujarnya, perkara itu juga dibawa kepada pengetahuan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) serta disalinkan kepada pegawai tertinggi kerajaan.

"Perkara ini juga dibawa termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri memandangkan isu berkenaan merupakan isu kritikal dalam kelangsungan jabatan, karier kakitangan, kebajikan serta industri pelancongan secara keseluruhan.

"Kesatuan memberi jaminan bahawa akan kekal berada di belakang pihak yang mempertahankan agenda pekerja termasuk pihak pengurusan seandainya terdapat ancaman atau ugutan yang diberikan berkenaan isu tersebut," ulasnya.