Segera warta kawasan Pantai Pasir Panjang

Pantai Pasir Panjang sepanjang tujuh kilometer perlu diwartakan bagi melindungi alam sekitar.
Pantai Pasir Panjang sepanjang tujuh kilometer perlu diwartakan bagi melindungi alam sekitar.
A
A
A

LUMUT - Kerajaan Perak diminta untuk mewartakan semula Pantai Pasir Panjang sepanjang tujuh kilometer di Segari di sini bagi melindungi kawasan yang terancam akibat aktiviti perlombongan dan penebangan hutan.

Gesaan itu disuarakan oleh Persatuan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) dan Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) setelah mendapati tiga projek yang dijalankan kawasan itu akan memusnahkan pendaratan utama penyu di negeri ini.

Projek perlombongan pasir, cadangan membina kompleks al-Falak balai cerap dan cadangan kawasan tetap latihan tentera di sebahagian Taman Eko Rimba Pasir Panjang turtu didakwa mengancam Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 yang sepatutnya dilindungi.

Setiausaha Kuasa, Noor Ismady Ahmad Radzuan berkata, KSAS Tahap 1 merupakan kawasan yang tidak boleh dibangunkan sebarang kegiatan dan penukaran guna tanah kecuali pelancongan eko berimpak rendah, pendidikan dan penyelidikan.

Menurutnya, kerja-kerja perlombongan pasir di Tanjung Hantu itu bagaimanapun dilihat masih beroperasi meskipun pelbagai bantahan telah disuarakan.

Rakaman dron menunjukkan aktiviti perlombongan pasir berhampiran Pantai Pasir Panjang didakwa masih beroperasi hingga mengganggu pendaratan penyu. - Foto ihsan Kuasa
Rakaman dron menunjukkan aktiviti perlombongan pasir berhampiran Pantai Pasir Panjang didakwa masih beroperasi hingga mengganggu pendaratan penyu. - Foto ihsan Kuasa

"Isu ini pernah dibawa oleh media sejak Januari lalu tetapi tiada sebarang perubahan malah kawasan yang diteroka semakin luas melibatkan kira-kira 10 hektar.

"Meskipun tanah sudah diberi hak milik, status tanah yang merupakan KSAS Tahap 1 tetap tidak berubah kerana ia kawasan pendaratan utama penyu.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tempoh sebulan, kawasan hutan tebal mula gondol. Rakaman dron minggu lalu menunjukkan ada pembukaan kawasan baharu di lot sama berhampiran Sungai Puyu pula," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Menurut Noor Ismady, pihaknya telah memaklumkan aktiviti perlombongan itu kepada Majlis Perbandaran Manjung (MPM) untuk tindakan awal.

"Menjadi persoalan bagaimana pasir dan pokok-pokok yang ditebang termasuk yang bernilai tinggi seperti Balau Laut itu dibawa keluar di kawasan terbabit.

"Kita percaya kesemua hasil itu dibawa keluar menerusi laut dan sudah tentu memerlukan penguatkuasaan pihak berkaitan," katanya.

Bagi Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman, beliau terkejut apabila lebih 80 pokok yang berusia 50 tahun dan ke atas telah ditanda dipercayai untuk ditebang untuk dijadikan kawasan latihan tentera.

Meor Razak (dua dari kiri) bersama Noor Ismady (kanan) dan Mohd Yusaimi (tengah) melihat peta kawasan Pantai Pasir Panjang, Segari yang dieksploitasi untuk pembangunan.
Meor Razak (dua dari kiri) bersama Noor Ismady (kanan) dan Mohd Yusaimi (tengah) melihat peta kawasan Pantai Pasir Panjang, Segari yang dieksploitasi untuk pembangunan.

"Spesies Kelat, Nyatoh dan lain-lain bersaiz diameter 40 hingga 50 sentimeter dalam kawasan taman eko rimba ini telah ditanda. Kita minta kerajaan negeri melihat semula cadangan kawasan ini.

"Kita tidak membantah latihan itu dilaksanakan namun yang menjadi kebimbangan adalah sebahagian pokok-pokok di pesisir pantai ini akan ditebang," katanya.

Sementara itu, Presiden GRASS, Mohd Yusaimi Md Yusof berkata, Jabatan Mufti perlu menambah baik premis sedia ada berbanding membina bangunan balai cerap baharu di kawasan pesisir pantai itu.

Katanya, pihak berkenaan perlu mengadaptasi konsep wakaf hutan pantai atau Hima yang dilaksanakan negara-negara Timur Tengah.

"Kajian menunjukkan kawasan pesisir pantai akan tenggelam pada tahun 2050 dan kita lihat sudah ada hakisan di tepi pantai.

"Merugikan jika projek pembinaan bernilai RM34 juta itu diteruskan namun akhirnya bangunan itu tidak selamat diduduki," katanya.

Jelas Mohd Yusaimi, rancangan menjadikan kawasan itu sebagai tarikan pelancongan juga tidak sesuai.

"Kerja-kerja pembinaan akan menganggu pendaratan penyu yang sensitif dengan pencemaran bunyi, cahaya dan kotoran sampah.

"Jabatan Mufti perlu menyemak semula projek pembangunan itu terutama reka bentuk bangunan yang tidak sesuai untuk penyu bertelur," katanya.