'Tangguh aktiviti rekreasi di kawasan berisiko kepala air'

Pada Jumaat seramai 32 individu termasuk 13 kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar, Sungai Tong di Setiu.
Pada Jumaat seramai 32 individu termasuk 13 kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar, Sungai Tong di Setiu.
A
A
A

KUALA BERANG - Orang ramai terutama masyarakat setempat dinasihatkan supaya menangguhkan seketika aktiviti riadah di kawasan rekreasi seperti air terjun dan sungai yang berisiko dilanda kepala air.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ia berikutan kepala air merupakan satu fenomena yang tidak dapat dijangka dan tanda-tanda sebelum berlakunya kejadian tersebut sukar dikenal pasti terutama bagi mereka yang kurang berpengalaman.

"Kami harap masyarakat setempat dapat mengelakkan berkunjung ke tempat riadah seperti ini (air terjun dan sungai). Bukan kami tutup terus tetapi kepala air merupakan keadaan yang tidak dapat dijangka kerana ia mungkin berlaku jauh di tempat lain dan tanda-tanda itu lambat sampai untuk kita terima dan sekiranya berlaku ia memberikan impak yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Produk Inovasi Kumpulan Inovasi dan Kreatif (Amphibia Qber II) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di Pengkalan Lawit, Tasik Kenyir dekat sini hari ini.

Pada Jumaat seramai 32 individu termasuk 13 kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar, Sungai Tong di Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, fenomena kepala air tersebut melanda tempat orang ramai beriadah, mandi-manda dan berkhemah sehingga menyebabkan enam kereta turut terperangkap.

Dalam pada itu Rohaimi menyeru kepada majlis daerah atau pihak berkaitan supaya menjalankan penguatkuasaan dan meletakkan papan tanda mengenai amaran kepala air serta memaklumkan kepada orang ramai sekiranya keadaan memerlukan sesuatu kawasan itu perlu ditutup.

"Kami juga cadangkan kepada pihak tertentu untuk memasang siren kecemasan supaya dapat dimaklumkan awal kepada orang ramai mengenai kejadian kepala air, berbanding ketika ini siren amaran lebih digunakan untuk kawasan berisiko banjir,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: