Belia terus dapat tawaran kerja di Jelajah AKM Kedah

Sebahagian golongan belia tidak melepaskan peluang hadir untuk memohon pekerjaan di Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah yang berlangsung di perkarangan Stadium Darul Aman, pada Jumaat. - Foto Bernama
Sebahagian golongan belia tidak melepaskan peluang hadir untuk memohon pekerjaan di Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah yang berlangsung di perkarangan Stadium Darul Aman, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Syukur. Itu antara luahan belia yang ditawarkan pekerjaan pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedahdi Stadium Darul Aman.

Khalid Abdul Manaf, 19, dari Pokok Sena berkata, dia terkejut apabila permohonannya untuk bekerja sebagai kakitangan pengeluaran di Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton) diterima dan diminta melapor diri pada 15 September ini di Shah Alam, Selangor.

"Saya sangat terkejut kerana ini kali pertama saya memohon kerja dan alhamdulillah terus diterima. Mula-mula memang tidak yakin boleh dapat peluang untuk bekerja kerana saya lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) sahaja, tetapi rezeki saya datang ke AKM hari ini.

"Saya akan gunakan peluang yang diberikan oleh Proton ini sebaik mungkin dan bekerja keras untuk mengubah status kehidupan saya dan keluarga," katanya kepada Bernama di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Muhammad Muhaimin Jamal Nasir, 26, berkata, permohonannya untuk bekerja di Proton diluluskan dalam tempoh kira-kira satu jam sahaja.

"Sebelum ini saya bekerja kontrak di sebuah syarikat telekomunikasi tetapi ada kerja baru ada gaji.

"Jadi, saya cuba nasib datang memohon di Proton, lalui proses temu duga pada 10.35 pagi dan pukul 11.40 pagi saya dimaklumkan saya diterima bekerja,” katanya yang akan melapor diri di Tanjung Malim, Perak pada 15 September ini.

Wakil Proton Shadeli Sham A.Khalek berkata, setakat 1 tengah hari ini, seramai 10 pemohon telah diterima bekerja sebagai pekerja pengeluaran yang akan ditempatkan di Shah Alam atau Tanjung Malim.

Artikel Berkaitan:

"Sambutan memang baik, ramai yang datang untuk temu duga dan menghantar resume. Untuk karnival ini kita buka 200 peluang pekerjaan dan mungkin ia dapat diisi sepenuhnya menjelang hari terakhir pada Ahad ini," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kedah Mohamad Haron Othman berkata, terdapat lebih 4,000 kekosongan jawatan ditawarkan menerusi karnival itu melibatkan penyertaan 35 majikan.

Jelajah AKM Negeri Kedah yang bermula hari ini (Jumaat) sehingga Ahad, adalah edisi kesembilan selepas Johor, Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak dan Selangor.

Penganjuran jelajah itu bertujuan memudahkan rakyat di setiap negeri mendapatkan maklumat terus mengenai bantuan dan perancangan kerajaan. - Bernama