Ayam seekor, beras 5kg hanya RM10 di Jelajah AKM Kedah

Pengunjung Mardziyah Ishak, 41, bersama keluarganya tidak melepaskan peluang untuk membeli jualan Happy Hour yang bermula 11 pagi sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, pada Jumaat. - Foto Bernama
Pengunjung Mardziyah Ishak, 41, bersama keluarganya tidak melepaskan peluang untuk membeli jualan Happy Hour yang bermula 11 pagi sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 6,000 pek mengandungi beras lima kilogram (kg) dan seekor ayam ditawarkan hanya pada harga RM10 di jualan 'Happy Hour' sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah selama tiga hari yang bermula hari ini (Jumaat).

Enggan melepaskan peluang itu, tinjauan Bernama mendapati, orang Kedah 'pakat mai' (berpusu-pusu datang) ke pekarangan Stadium Darul Aman di sini seawal 9 pagi bagi memastikan mereka dapat membeli pek berkenaan.

Mardziyah Ishak, 41, dari Jitra berkata, dia bersama tiga anak perempuan dan ibunya datang beratur di hadapan reruai jualan berkenaan seawal pukul 9 pagi untuk membeli ayam dan beras.

"Pukul 7.30 pagi kami keluar dari rumah, sampai terus beratur di sini. Harga yang ditawarkan bagi dua barangan ini sangat murah, jauh lagi murah daripada yang dijual di kedai jadi kami sekeluarga ambil peluang 'Happy Hour' ini.

"Jualan ini juga dapat membantu mengurangkan bebanan perbelanjaan rumah, jadi saya harap program ini dapat diadakan setiap tahun dan ini juga sudah pastinya dapat membantu golongan B40," katanya kepada Bernama di sini, pada Jumaat.

Seorang lagi pengunjung Hasliza Ibrahim, 45, dari Mergong di sini berkata, dia hanya mengetahui mengenai jualan ayam dan beras itu melalui siaran radio semalam dan datang beratur di reruai pada 10 pagi.

"Kalau di pasaran, harga ayam dan beras jauh lebih mahal jadi ini dapat membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik. Mungkin ke hadapan boleh tambah lagi jumlah jualan ayam dan beras selain memperbanyakkan lagi jenis barangan yang dijual," katanya.

Jurucakap Mara Corporation Mohd Safwan Abdul Ghani berkata, jualan yang sepatutnya bermula pukul 11 pagi diawalkan ke 10.40 pagi kerana mendapat sambutan yang sangat luar biasa daripada pengunjung Jelajah AKM.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini sudah 70 peratus ayam dan beras terjual untuk sesi pagi manakala sesi petang pula akan bermula pada 4.30 petang nanti. Mereka yang tidak dapat hadir hari ini boleh datang membuat pembelian pada Sabtu dan Ahad," katanya.

Setiap hari 2,000 pek disediakan untuk dua sesi jualan dengan 1,000 pek dijual masing-masing pada sesi pagi dan petang.

Jelajah AKM Negeri Kedah yang juga edisi kesembilan selepas Johor, Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak dan Selangor, akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 3 petang ini. - Bernama