Perkasakan undang-undang halang budaya LGBT

Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan anugerah Tokoh Istiqamah Dewan Ulama Pas Pusat kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, pada Jumaat.
Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan anugerah Tokoh Istiqamah Dewan Ulama Pas Pusat kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, pada Jumaat.
A
A
A

YAN - Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) mencadangkan agar undang-undang berkaitan budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LBGT) diperkasakan dalam usaha mengekang budaya sosial terbabit di negara ini.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahya berkata, kerajaan perlu peka terhadap ancaman pendukung ideologi LGBT yang sedang meresap masuk ke rantau ini.

Katanya, negara perlu berhadapan dengan realiti getir untuk mempertahankan negara daripada usaha menghalalkan LGBT susulan pengumuman untuk menerima LGBT oleh negara dari rantau yang sama.

Sistem perundangan semasa yang meletakkan amalan LGBT sebagai suatu kesalahan jenayah telah termaktub dalam Seksyen 377 Kanun Keseksaan.

"Begitu juga pelbagai peruntukan enakmen negeri yang perlu diperkasa bagi melindungi ancaman LGBT kepada keutuhan bermasyarakat dalam negara," katanya ketika memberi ucaptama dalam Muktamar Dewan Ulama Pas di Dewan Serbaguna Guar Chempedak di sini pada Jumaat.

Ujar beliau, DUPP turut menggesa supaya penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara serius khususnya menanggapi proses 'sexual grooming' melalui media-media sosial.

"Kerajaan perlu menambahbaik dasar sosial di bawah Pelan Tindakan Sosial Islam 2019-2025 untuk terus mengekang budaya songsang ini daripada terus menular dalam negara.

"Pelan tindakan ini perlu ditambahbaik sejajar dengan perkembangan semasa bagi memastikan setiap ruang-ruang halus penyerapan masuk agenda LGBT dapat segera ditutup," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad menambah, peranan Lembaga Penapisan Filem (LPF) juga perlu lebih tegas dalam menghalang usaha normalisasi unsur LGBT melalui karya-karya perfileman yang masuk ke dalam negara.

"Penganjuran konsert yang menampilkan artis-artis Barat juga bertentangan dengan agama dan budaya ketimuran di negara.

“Apatah lagi dalam keadaan negara baharu sahaja menempuh tempoh pemulihan pasca pandemik yang perlu ditanggapi dengan rasa penuh insaf," katanya.

Tambah beliau lagi, sewajarnya penglibatan agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke dalam Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) diberikan suara yang kuat untuk didengari oleh pihak jawatankuasa.

"Bagaimanapun penglibatan JAKIM seolah-olah sekadar cukup syarat," katanya.

23 Ogos lalu, media melaporkan kerajaan Singapura mengumumkan untuk memansuhkan Seksyen 377A kanun keseksaan iaitu sebuah undang-undang era kolonial yang menjenayahkan hubungan seks antara lelaki.