UMNO minta Dewan Muslimat Pas bincang dengan Kerajaan Perpaduan

Dr Muhamad Akmal, Norliza
Dr Muhamad Akmal, Norliza
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO menyambut baik saranan Dewan Muslimat Pas yang mengajak parti itu bersatu di bawah payung kesatuan Islam dan Melayu dengan meletakkan asas kesatuan demi perpaduan ummah.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, jika benar mahu mengadakan kerjasama, Muslimat Pas boleh usulkan cadangan tersebut kepada kepimpinan tertinggi parti mereka dan berjumpa dengan Kerajaan Perpaduan bagi mengadakan perbincangan.

Katanya, UMNO tiada masalah dan berlapang dada untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak selagi tidak melanggar prinsip parti yang sentiasa mempertahankan agama, bangsa dan negara.

“Saya rasa tiada masalah, kalau mahu kuatkan orang Melayu, kita minta Pas sertai Kerajaan Perpaduan. Kita tidak mahu bercakap soal politik, apa yang rakyat mahu adalah kestabilan politik, rakyat sudah letih tukar kerajaan.

“Cukuplah, kerajaan yang ada hari ini biarlah kekal akhir penggal. Negara ini bukan hanya perlu ada kesatuan Melayu semata-mata tetapi berbilang bangsa juga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh mengeluarkan kenyataan bahawa tempoh selama lebih enam bulan sudah mencukupi bagi UMNO berada di bawah jajaran ‘khemah besar’ yang dilihat ternyata cantik di luar, namun penuh kekotoran di dalamnya.

Justeru beliau berkata, UMNO harus mengambil langkah berani untuk bersama blok yang betul demi survival agama, bangsa dan negara.

Sementara itu, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berpendapat, keberadaan Barisan Nasional (BN) terutama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan menjadi ‘semak dan imbang’ yang berkesan terutama dalam menjaga dan memelihara kedudukan agama Islam serta bangsa Melayu melalui konsep kesederhanaan atau ‘Islam-moderate’.

“Secara peribadi saya ucapkan terima kasih atas ingatan dan pelawaan Muslimat Pas diketuai Nuridah untuk sama-sama kembali menyatu di bawah payung kesatuan Islam dan Melayu.

“Bagaimanapun, jika Nuridah terlupa biarlah saya ingatkan bahawa Kerajaan Perpaduan ini tertubuh atas dasar hormat serta menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong setelah buat kali pertama kedudukan Parlimen tergantung.

“Sebab itu lah Nuridah perlu berhenti bermain 'kad' bangsa dan agama sebaliknya perlu fokus pada permasalahan sebenar iaitu cabaran ekonomi dan kelangsungan hidup jika benar-benar mahu menang hati rakyat,” ujarnya.