PAC digesa siasat isu kapal OPV didakwa mirip kes LCS

Mujahid (tengah) ketika sidang akhbar di Jelapang Square pada Jumaat.
Mujahid (tengah) ketika sidang akhbar di Jelapang Square pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) digesa memulakan siasatan terhadap projek pembinaan tiga kapal peronda persisir pantai (OPV) yang masih belum diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sehingga kini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, gesaan itu dibuat kerana ia dilihat mirip kes kapal tempur pesisir (LCS) yang dibongkarkan sebelum ini.

Menurutnya, malah dikesan wujud beberapa perkara meragukan berhubung pemberian kontrak untuk membina kapal tersebut kepada TH Heavy Engineering Berhad (TH Heavy) yang tidak mempunyai kepakaran membina kapal.

"Bagaimana anugerah kontrak itu dibuat secara runding terus? TH Heavy ada beberapa masalah. Dalam kontrak ini mereka bukan pakar dalam pembinaan kapal. Dari awal lagi kontrak ini dipersoalkan. Lebih buruk daripada itu, saya nak maklumkan kenyataan bahawa TH Heavy pada tahun 2017 dapat kontrak itu diletakkan syarat bahawa mereka kena buat kerjasama dengan satu syarikat lain.

"Jadi mereka kena cari pakar dalam pembinaan kapal ini. Maka berlakulah kerjasama di antara TH Heavy yang memiliki 49 peratus pegangan dan satu syarikat iaitu Destini Sdn Bhd yang memiliki 51 peratus pegangan di dalam projek ini," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Jelapang Square pada Jumaat.

Beliau berkata, ketika pemberian kontrak berkenaan, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi Tabung Haji (TH) ketika itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memang mengetahui TH Heavy tidak mempunyai kepakaran membina kapal tetapi tetap menganugerahkan kontrak berkenaan.

Mujahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak berkata, kapal yang sepatutnya diserahkan pada tahun 2020 secara berperingkat sehingga kini masih belum dapat dilihat dan diberikan kepada Maritim.

"Saya menuntut satu siasatan daripada PAC untuk disegerakan berhubung kelambatan OPV ini. Kekhuatiran saya kes ini lebih kurang sama dengan LCS. Lambat kerana ada masalah. Apa yang saya lontarkan pada hari ini berlaku skandal kapal OPV yang menyebabkan kelewatan. Saya nak maklumkan di sini daripada RM738.9 juta nilai projek, RM500 juta telah dibelanjakan.

Artikel Berkaitan:

"Bila RM500 juta dibelanjakan tanpa satu kapal pun sampai, ini sangat membimbangkan dan ada kelayakan untuk kita pertikaikan apa berlaku sepanjang dua tahun kelewatan itu," jelas beliau.

Menurut Mujahid, ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada tahun 2018, TH Heavy diletakkan sebagai salah satu daripada 29 syarikat 'sakit' di bawah TH.

Katanya, biarpun TH mempunyai pegangan saham sebanyak 30 peratus dalam TH Heavy, syarikat tersebut terpaksa dipindahkan ke syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Perbadanan Menteri Kewangan bagi menyelamatkan TH.

Jelasnya, pihak-pihak berkaitan termasuk kerajaan perlu menjawab persoalan dikemukakan mengenai pemberian kontrak dan kegagalan menyiapkan aset keselamatan negara itu.

Sinar Harian pada 10 Ogos lalu mendedahkan timbul tanda tanya mengenai status tiga kapal OPV Maritim Malaysia yang masih belum diterima.

Agensi itu sepatutnya menerima sebuah kapal OPV pada Ogos setelah kerajaan memberi lanjutan sehingga 18 bulan kepada syarikat TH Heavy untuk menyiapkan tiga kapal OPV berkenaan.