PRU15: PKR Johor mahu tanding 14 kerusi

Rafizi (dua dari kiri) pada sidang akhbar selepas mesyuarat MPN Johor di Ibu Pejabat PKR negeri di Johor Bahru pada malam Rabu.
Rafizi (dua dari kiri) pada sidang akhbar selepas mesyuarat MPN Johor di Ibu Pejabat PKR negeri di Johor Bahru pada malam Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat ( PKR) Johor berhasrat mahu bertanding 14 kerusi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Pada PRU14 lalu, parti itu bertanding pada lapan kerusi parlimen dan menang enam daripadanya iaitu Tebrau, Pasir Gudang, Johor Bahru, Sekijang, Segamat, Batu Pahat dan Ledang.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Rafizi Ramli berkata, lebih banyak kerusi disasarkan memandangkan negeri itu merupakan tumpuan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15.

"Jumlah kerusi parlimen yang ditandingi tentu akan bertambah. Cuma saya tidak boleh umumkan di mana PKR hendak bertanding di Johor.

"Ini kerana agihan kerusi masih belum diputuskan dan ia akan dibincangkan terlebih dahulu dalam kalangan parti komponen PH. Rundingan kerusi di peringkat Pusat ini akan bermula pada Khamis," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri ( MPN) Johor di Ibu Pejabat PKR Johor di sini pada malam Rabu.

Menurut Rafizi, rundingan kerusi di peringkat PH Pusat melibatkan kerusi ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka selesai akhir September.

"Kerusi yang ditandingi oleh parti komponen PH iaitu PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP pada PRU14 akan kekal. Rundingan cuma libatkan kerusi yang dahulunya ditandingi Bersatu.

Artikel Berkaitan:

"Proses rundingan kali ini jauh lebih mudah berbanding sewaktu PRU14. Disebabkan itu, saya yakin rundingan kerusi akan selesai dalam tempoh sebulan. Menjelang akhir September, PH akan selesai agihan kerusi seluruh negara," katanya.

Tambah Rafizi, rundingan kerusi turut mengambil kira soal kebolehmenangan setiap parti komponen PH di sesuatu kawasan.

"Contoh rekod menunjukkan PKR menang di Parlimen Batu Pahat. Ini membuktikan PKR sudah bertapak di situ sejak 2013 dan 2018. Manakala di Parlimen Segamat dan Tebrau pula PKR merupakan parti pertama bukan dari BN yang menang di kerusi itu.

"Soal calon 'melompat' itu soal lain daripada faktor kemenangan. Sebab itu rundingan berdasarkan kekuatan dan potensi parti untuk menang bukannya individu," katanya.

Seramai tiga Ahli Parlimen PKR di Johor beralih arah menyertai Bersatu dan menyokong Perikatan Nasional (PN) iaitu Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr R Santhara Kumar (Segamat) dan Steven Choong (Tebrau).

Pada November tahun lalu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).