Mesyuarat MPN Johor bincang persiapan PRU15

Akmal Nasrullah
Akmal Nasrullah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor pada Rabu ini dijangka membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Timbalan Presiden parti itu, Rafizi Ramli akan mengetuai mesyuarat yang turut disertai ketua cabang, pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri dan Ketua Wanita PKR negeri.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, ia merupakan pertemuan rasmi pertama Rafizi dengan jentera PKR negeri.

"Sebelum ini ia dilakukan secara maya, kami sudah menyatakan susunan kepimpinan di peringkat negeri yang akan dibentuk nanti.

"Saya jangka mesyuarat itu nanti lebih khusus bincang persiapan menghadapi PRU15. Timbalan Presiden akan ambil maklum balas daripada kepimpinan cabang dan negeri yang akan dibentuk dalam soal rundingan agihan kerusi," katanya.

Mengulas mengenai pelantikan sebagai Pengerusi MPN Johor pada 4 Ogos lalu katanya, ia bukan penentu kepada bekas Ahli Parlimen Pandan itu untuk bertanding di Johor pada PRU15 kelak.

"Rafizi bukan sahaja Pengerusi MPN di Johor tetapi juga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Keputusan parti meletakkan Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden memimpin PKR negeri adalah langkah strategik yang diambil selepas pemilihan parti baru-baru ini.

"Langkah ini dibuat suapaya segala arahan, maklumat dan gerak kerja strategik negeri akan dimaklumkan terus daripada peringkat pusat ke negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai pengaruh bukan sahaja di kerusi tradisinya.

"Jika betul tempat dan tujuannya, Insya-ALLAH beliau (Anwar) mampu memberi kemenangan kepada PKR. Dari segi sejarahnya Anwar bertanding di Permatang Pauh, namun kini di Port Dickson.

"Ia membuktikan pengaruh Anwar bukan sahaja di kawasan tradisinya," katanya.

Pada 11 Ogos Anwar yang merupakan Ketua Pembangkang dilaporkan masih mengkaji beberapa cadangan berkaitan kerusi bakal ditandingi beliau pada PRU15

Katanya, terdapat beberapa negeri yang dicadangkan untuk beliau bertanding antaranya Perak, Johor dan Pulau Pinang.

Namun beliau menafikan sudah membuat ketetapan untuk memilih Parlimen Tambun sebagai kawasan untuk bertanding pada PRU akan datang.