Rafizi tidak akan bertanding di Johor pada PRU15

Rafizi pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor di Ibu Pejabat PKR negeri di Johor Bahru pada malam Rabu.
Rafizi pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor di Ibu Pejabat PKR negeri di Johor Bahru pada malam Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat ( PKR), Rafizi Ramli, menafikan beliau akan bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Rafizi menegaskan, pelantikan dirinya sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, bukan bertujuan mencari kerusi Parlimen yang akan ditandingi di negeri ini.

Sebaliknya, beliau menjelaskan perlu memantapkan gerak kerja PKR negeri, kerana Johor adalah negeri tumpuan pada PRU15.

"Saya tidak akan bertanding di Johor, itu muktamad. Keputusan pimpinan pusat memilih saya sebagai Pengerusi MPN Johor bukan bermaksud untuk saya bertanding di sini.

"Cuma dalam kalangan pimpinan pusat yang lain, saya mempunyai rekod lebih lama bekerjasama dengan pimpinan dan cabang di negeri ini. Maka kelebihan itu dilihat mampu memudahkan penyelarasan kempen PRU15 dari peringkat pusat ke Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri ( MPN) Johor di Ibu Pejabat PKR negeri di sini pada malam Rabu.

Hadir sama, Pengarah Strategi PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

Sebelum ini timbul spekulasi bekas Ahli Parlimen Pandan itu akan bertanding di Johor selepas dilantik sebagai Pengerusi MPN bagi Wilayah Persekutuan dan Johor pada 4 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rafizi berkata kemelut politik yang melanda Wanita PKR Johor susulan lantikan Ketua Wanita negeri yang baharu, akan dibawa ke pucuk pimpinan untuk dibincangkan bersama Ketua Wanita PKR Pusat.

"Isu ini antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat malam ini (malam Rabu). Bagi saya, isu ini melibatkan pandangan yang berbeza-beza di dalam Wanita PKR Johor, namun ia bukan masalah yg besar.

"Saya yakin sehari dua lagi kemelut ini akan dapat diharmonikan. Cuma nasihat saya, kalau pun kepimpinan itu, mungkin tidak puaskan hati semua dalam keadaan PRU15 semakin dekat, keutamaan perlu diberikan untuk stabilkan parti dan beri ruang kepada semua untuk jalankan tugas masing-masing.

"Disebabkan itu, saya akan kembali ke Johor dalam tempoh dua minggu lagi, untuk bermesyuarat bersama kepimpinan negeri, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita. Saya harap semua pihak bersedia dan tumpu kepada persiapan berdepan PRU15 pada mesyuarat itu nanti," katanya.

Pada Rabu, sebanyak 10 daripada 14 sayap wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini dilaporkan mempersoalkan pelantikan Ketua Wanita PKR Johor Bahru, Zuraidah Zainab sebagai Ketua Wanita PKR Johor yang baharu.

Ketua Wanita PKR Cabang Pasir Gudang, Norfazilah Mohamad Nor berkata, ini kerana majoriti sayap wanita di negeri ini memilih Ketua Wanita PKR Cabang Kluang, Haryati Abu Nasir sebagai ketua sayap negeri yang baharu.