Pelantikan Ketua Wanita PKR Johor dipersoal

Iklan
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU - Sebanyak 10 daripada 14 sayap wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor mempersoalkan pelantikan Ketua Wanita PKR Johor Bahru, Zuraidah Zainab sebagai Ketua Wanita PKR negeri yang baharu.

Ketua Wanita PKR Cabang Pasir Gudang, Norfazilah Mohamad Nor berkata, ini kerana majoriti sayap wanita di negeri ini memilih Ketua Wanita PKR Cabang Kluang, Haryati Abu Nasir sebagai ketua sayap negeri yang baharu.

Iklan
Iklan

Norfazilah berkata, pihaknya terkejut apabila dimaklumkan mengenai pelantikan Zuraidah sebagai Ketua Wanita PKR Johor menggantikan Haryati seperti yang diputuskan semasa mesyuarat dan pengundian pada 5 Ogos lalu.

Khabar angin mengenai pelantikan Ketua Wanita PKR Johor bertiup kencang sebelum ini yang didakwa wujud campur tangan daripada kepimpinan PKR Cabang Johor Bahru yang diterajui Ketuanya, Akmal Nasrullah Nasir.

Iklan

Akmal Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru didakwa daripada kem Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Norfazilah yang menjadi jurucakap untuk 10 sayap wanita itu berkata, keputusan tersebut jelas bertentangan dengan kehendak akar umbi.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya memahami keputusan melantik jawatan Ketua Wanita PKR negeri adalah hak kepimpinan tertinggi parti, namun perkembangan itu menunjukkan sikap pucuk pimpinan yang angkuh.

"Apa gunanya kepimpinan memanggil kami pada hari itu untuk mendapatkan mandat melantik ketua sayap wanita PKR Johor yang baharu jika tidak mahu menghormati mandat yang telah kami berikan," katanya yang menafikan tindakan mempersoalan pelantikan itu bukan bermaksud mahu menimbulkan pergeseran tetapi mahukan penjelasan.

Norfazilah berkata, pihaknya sudah menghantar surat yang menyuarakan rasa tidak puas hati 10 sayap wanita PKR tersebut kepada pucuk pimpinan parti dan kini menunggu maklum balas.

"Kami menggesa kepimpinan parti mengekalkan Haryati kerana sudah mendapat mandat yang jelas untuk memimpin sayap wanita PKR Johor.

"Sebuah organisasi hanya akan berjaya atas dasar saling menghormati semua pihak dan menghormati keputusan dibuat majoriti," katanya.