Kanak-kanak lemas: Kolam renang beroperasi tanpa lesen

Operasi penutupan diketuai Awaludin bersama Ahli Majlis Kawasan Bukit Beruntung, Khairul Azhari Saut dan enam penguatkuasa MDHS
Operasi penutupan diketuai Awaludin bersama Ahli Majlis Kawasan Bukit Beruntung, Khairul Azhari Saut dan enam penguatkuasa MDHS
A
A
A

BUKIT BERUNTUNG - Kolam Renang Kelab Golf Bukit Beruntung diarahkan tutup selama 14 hari selepas didapati beroperasi tanpa lesen.

Tindakan penutupan dilakukan Jabatan Penguatkuasa Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang berkuatkuasa bermula 1 April lalu berikutan kes kanak-kanak mati lemas di kolam renang berkenaan Ahad lepas.

Setiausaha MDHS, Awaludin Zakaria berkata, perniagaan kolam renang terbabit didaftarkan di bawah sebuah syarikat sendirian berhad sebagai kolam renang persendirian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan turut mendapati pengusaha gagal menyediakan penyelamat bertauliah sepanjang waktu operasi sehingga menyebabkan berlaku kematian.

"Tindakan penutupan dilaksanakan ekoran kegagalan pihak syarikat untuk mematuhi peruntukan undang-undang atau syarat berkaitan dengan aktiviti perniagaan.

"Tindakan ini tertakluk di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil 33 (1)(a) dan (b), Undang-Undang Kecil Kolam Renang Persendirian (MDHS) 2013.

"Oleh yang demikian, premis ini diperintahkan tutup sementara dan diarahkan untuk tidak menjalankan operasi sepanjang tempoh penutupan serta mengemukakan lesen permohonan kepada Jabatan Pelesenan MDHS," katanya.

Awaluddin berkata, pengusaha dikenakan tindakan tegas dengan didakwa di mahkamah jika gagal mematuhi arahan penutupan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pengusaha tersebut hanya dibenar meneruskan beroperasi selepas mendapat kelulusan bertulis daripada MDHS.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak lemas di kolam renang dewasa

Dalam kejadian jam 9.40 pagi Ahad lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun meninggal dunia akibat lemas.

Mangsa bersama keluarga dari Johor bercuti di hotel kelab golf berkenaan dan memasuki kolam renang dewasa tanpa disedari ibu bapanya.