Mayat kanak-kanak lemas ditemukan tersangkut pada kayu

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Foto ihsan Bomba Perak
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Foto ihsan Bomba Perak
A
A
A

TANJUNG MALIM - Mayat seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Lubuk Gelap Simpang Empat di sini sejak Sabtu lalu, akhirnya berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat pada Selasa.

Mayat Edward Grang Anak Jenggut berusia lapan tahun ditemukan sekitar jam 12.35 tengah hari kira-kira lapan kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

Mangsa ditemui tersangkut pada kayu berhampiran tebing Sungai Bernam berkenaan selepas 68 jam dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, Mohd Zairul Fahmi Mohd Nazari berkata, kedudukan mangsa berjaya dikesan seekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Operasi mencari dan menyelamat bermula jam 9.30 pagi melibatkan 49 anggota penyelamat merangkumi jarak pencarian sehingga sembilan kilometer.

Mayat kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat pada operasi hari empat di Tanjung Malim pada Selasa. - Foto ihsan Bomba Perak
Mayat kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat pada operasi hari empat di Tanjung Malim pada Selasa. - Foto ihsan Bomba Perak

"Pasukan penyelamat melakukan pencarian dengan menyusuri arus selain kaedah pencarian di permukaan air dan tebing sungai dengan dibantu unit K9.

"Ketika dijumpai, mangsa hanya memakai seluar renang berwarna hitam tersangkut pada kayu," katanya di sini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa naik ke tebing dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Media melaporkan, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan bagi mengesan mangsa yang dilaporkan hilang ketika mandi di kawasan perkelahan itu sekitar jam 5 petang.

Difahamkan, kanak-kanak tersebut datang ke tapak perkelahan berkenaan bersama keluarganya.