Ambil cuti sakit semata-mata nak sambut merdeka bersama kekasih

Seorang gadis ditahan bersama kekasih di sebuah bilik hotel di Sungai Petani pada Rabu.
Seorang gadis ditahan bersama kekasih di sebuah bilik hotel di Sungai Petani pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang gadis sanggup mengambil sijil cuti sakit (MC) semata-mata mahu meraikan sambutan ambang merdeka bersama kekasih di sebuah bilik hotel di sini pada Rabu.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, perbuatan itu terbongkar hasil serbuan kira-kira jam 2.30 pagi dilakukan oleh pasukan penguat kuasa dalam operasi sempena ambang merdeka di sekitar daerah ini pada Rabu.

Menurutnya, pasangan berusia 19 dan 23 tahun yang mengaku bakal bernikah pada 10 Oktober depan itu memberi alasan menempah bilik hotel kerana mengantuk untuk pulang ke rumah mereka di Kulim dan Serdang, Kedah.

"Gadis tersebut yang sepatutnya membuat kerja lebih masa (OT) telah mengambil MC, dijemput oleh kekasihnya di sebuah kilang di Batu Kawan, Pulau Pinang sebelum ditemui berdua-duaan di sebuah bilik hotel di bandar ini," katanya.

Zaiferi bersama pasangan kekasih yang ditahan dalam operasi sempena ambang merdeka pada Rabu.
Zaiferi bersama pasangan kekasih yang ditahan dalam operasi sempena ambang merdeka pada Rabu.

Sebelum itu, katanya, dalam serbuan berasingan, seorang lelaki dikesan bersembunyi dalam siling hotel bagi mengelak ditahan penguat kuasa agama yang melakukan serbuan di sebuah hotel di Bandar Amanjaya kira-kira jam 1 pagi.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 20-an itu berjaya dikesan dan ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda bersama pasangan untuk laporan tangkapan.

Menurut beliau, operasi yang bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi diketuai Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin itu turut menahan enam individu lain berusia antara 20-an hingga 40-an.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 yang memperuntukkan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Kesemua tangkapan dikehendaki hadir ke pejabat agama mengikut tarikh ditentukan untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, operasi melibatkan kira-kira 70 anggota itu membabitkan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda, Pejabat Agama Daerah Yan, Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu dan Pejabat Agama Daerah Kulim selain dibantu anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda dan Skuad Badar.

Hadir sama membantu operasi termasuk anggota dari Cawangan Penyiasatan Khas Sungai Petani Angkatan Tentera Malaysia diketuai Pegawai Waran 1 Mohd Faisal Suaid.