Calon tak layak dapat sijil SPM boleh ambil semula subjek gagal

Fadhlina - Foto: Bernama
Fadhlina - Foto: Bernama
A
A
A

TUMPAT - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meminta calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang tidak layak mendapat sijil supaya mengambil semula peperiksaan bagi subjek yang gagal untuk memperbaiki keputusan mereka.

Beliau berkata, calon yang gagal mendapat sijil tidak perlu bimbang kerana mereka boleh mengambil semula peperiksaan pada bila-bila masa.

"Jangan bimbang kalau tak layak, boleh ambil SPM ulangan pada bila-bila masa. Jadi jangan nak noktahkan kegagalan di situ dan yang tidak layak dibesar-besarkan.

"SPM ini ada ulangan dan mereka boleh ambil untuk baiki sijil mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai masa depan calon yang tidak layak mendapat sijil SPM 2022 yang diumumkan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, secara keseluruhan keputusan SPM 2022 merekodkan peningkatan apabila jumlah layak dapat sijil meningkat kepada 91.6 peratus.

"Peratus layak dapat sijil itu adalah yang terbaik dan buat julung kalinya melebihi 90 peratus. Cuma 8.4 peratus yang tak layak dapat sijil,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti laporan penuh dan akan berkongsi angka sebenar ketidakhadiran pelajar ketika peperiksaan SPM 2022.

"Sedang diperincikan sebab ramai nak tahu kenapa mereka tak hadir.

"Sebab setiap negeri tak sama alasan. Kita nak pergi lebih terperinci lagi tentang ini mengikut isu-isu di setiap negeri," katanya. - Bernama