5,000 sertai Malaysia #QuranHour di Kelantan

Tengku Razaleigh (tengah) menyertai Malaysia #QuranHour selepas merasmikan program itu di Masjid Razaleigh pada Selasa.
Tengku Razaleigh (tengah) menyertai Malaysia #QuranHour selepas merasmikan program itu di Masjid Razaleigh pada Selasa.
A
A
A

GUA MUSANG - Malaysia #QuranHour 2022 peringkat negeri Kelantan yang berlangsung di Masjid Razaleigh yang menyerupai model Masjidil Haram Makkah di sini pada Selasa menarik lebih 5,000 penyertaan termasuk orang kurang upaya (OKU).

Tambah menarik penganjuran itu menampilkan Johan Qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang berstatus OKU cacat penglihatan.

Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK), Datuk Adnan Hashim berkata, penganjuran program oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) pada tahun ini mendapat penajaan utama rakan sinergi daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang beribu pejabat di Gua Musang.

DATUK ADNAN HASHIM
DATUK ADNAN HASHIM

“Program membudayakan al-Quran itu berlangsung serentak di seluruh negara dan bagi Kelantan adalah pertama kali diadakan di luar dari ibu negeri Kota Bharu.

“Bacaan al-Quran dan tadabbur diketuai Penasihat PRNNK, Profesor Madya Dr Azhar Muhammad bersama Muhammad Qayyim Nizar yang membacakan al-Quran braille,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang merasmikan program itu.

Adnan berkata, Malaysia #QuranHour tahun ini memilih bacaan dan tadabbur surah Al-Sajdah serta bacaan doa Malaysia Teguh Bersama selama sejam bermula pada jam 12 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tambah unik penganjuran Malaysia #QuranHour di negeri ini majlis diadakan sekali lagi pada sebelah petang yang memberi fokus kepada pelajar-pelajar dari lebih 10 sekolah menengah di seluruh Gua Musang hadir ke masjid sama membaca al-Quran dan bertadabbur.

Peserta membaca al-Quran dan bertadabbur pada Malaysia #QuranHour Kelantan di Masjid Razaleigh pada Selasa.
Peserta membaca al-Quran dan bertadabbur pada Malaysia #QuranHour Kelantan di Masjid Razaleigh pada Selasa.

“Peserta sebelah pagi datang seawal mendaftar seawal jam 8 pagi manakala peserta sebelah petang pada jam 2.30 petang.

“Lebih 5,000 peserta yang hadir menyertai Malaysia #QuranHour di Kelantan pada tahun ini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang berbesar hati menaja pengangkutan kereta api kepada 50 OKU pergi dan balik dari Kota Bharu ke Gua Musang untuk menyertai Malaysia #QuranHour 2022 di masjid itu.

“Pengajuran kali ini sempena dengan bulan Kebangsaan yang bertemakan Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

“Bacaan juga berlangsung serentak di 10 lokasi terpilih antaranya surau Mydin Mall, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, Rumah Ngaji Ala Perupok, Bachok dan Rumah Ngaji Tahsinul Quran Muslimah (TQMAH) di Kampung Sering,” katanya.