Jalan Gua Musang ditutup esok, JKR buka jalan lencongan

Ahmad Redza (dua dari kiri) ketika melawat tapak Projek Central Spine Road (CSR), Bulatan Gua Musang pada Jumaat.
Ahmad Redza (dua dari kiri) ketika melawat tapak Projek Central Spine Road (CSR), Bulatan Gua Musang pada Jumaat.
A
A
A

GUA MUSANG - Penutupan jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis bertujuan menyuraikan kesesakan trafik serta meningkatkan aspek keselamatan pengguna yang dijangka melimpah bermula 18 Mac ini.

Penutupan itu bermula Sabtu (esok) dan dijangka dapat mengurangkan risiko kemalangan dalam musim perayaan.

Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool berkata, justeru pihaknya membuka satu jalan alternatif iaitu jalan lama yang disediakan lebih awal bagi tujuan melencongkan kenderaan.

"Jalan tersebut kini sudah dinaik taraf melalui pelebaran jalan dari simpang Kampung Pulai ke simpang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

"Jalan altenatif ini sudah siap dilebarkan pada 14 Disember 2021 untuk dilalui kenderaan sebagai jalan alternatif," katanya selepas lawatan kerja ke tapak Projek Central Spine Road (CSR), Bulatan Gua Musang di sini pada Jumaat.

Selain itu katanya, bagi memastikan kelancaran trafik, JKR turut menyediakan Pelan Pengurusan Trafik yang lengkap sebagai panduan kepada pengguna jalan raya.

Beliau turut memaklumkan, perantau yang pulang untuk berhari raya ke Kota Bharu boleh melalui jalan alternatif yang dicadangkan iaitu Lebuhraya PLUS - Kuala Kangsar dan melalui FT004 - Jeli - Tanah Merah- Pasir Mas dan Kota Bharu dengan jarak 581 km.

"Alternatif kedua pula melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) melalui Terengganu dengan jarak 549km.

"Selain itu, pengguna jalan raya boleh melalui Simpang Pulai - Jeli - Gua Musang - Kuala Krai - Kota Bharu dengan jarak 530km," katanya.

Tambah beliau, JKR memahami kegusaran pengguna terhadap penutupan Jalan Persekutuan itu dari simpang hospital sehingga jambatan Taman Damar di sini.

Penutupan itu katanya, akan memberi kesan kepada kelancaran trafik terutama menjelang musim perayaan dan laluan itu merupakan sebahagian daripada Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU).

Jelas Ahmad Redza, antara objektif utama pembinaan laluan itu untuk menyediakan infrastruktur berkualiti di luar bandar, meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti laluan ke Pantai Timur, menjimatkan masa dan jarak perjalanan serta mengurangkan risiko kemalangan.

"Kita akan sentiasa melaksanakan penyelarasan dengan pihak berkepentingan bagi meminimumkan impak terhadap pengguna jalan raya dan penduduk setempat dalam tempoh pelaksanaan projek.

"Mereka juga disaran merancang perjalanan sebaiknya terutama ketika musim perayaan.

"JKR mengambil serius dan sentiasa berusaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya dalam menyediakan infrastruktur berkualiti demi keselesaan rakyat,"katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!