10 penunjuk perasaan terbunuh di kawasan pergolakan di Iraq

Keadaan di Baghdad menjadi tegang pada awal Isnin selepas al-Sadr mengumumkan persaraan daripada politik untuk selama-lamanya. - Foto EPA
Keadaan di Baghdad menjadi tegang pada awal Isnin selepas al-Sadr mengumumkan persaraan daripada politik untuk selama-lamanya. - Foto EPA
A
A
A

BAGHDAD - Sepuluh penunjuk perasaan terbunuh pada Isnin selepas penyokong ulama Syiah Iraq, Muqtada al-Sadr menyerbu Istana Republik, pusat kerajaan Iraq di Baghdad, menurut Agensi Anadolu memetik media tempatan.

Lebih 150 penunjuk perasaan turut cedera dalam rusuhan itu, kata laman sesawang tempatan Baghdad Today memetik sumber keselamatan.

Susulan pengumuman kematian itu, Perdana Menteri, Mustafa al-Kadhimi mengarahkan siasatan segera dilakukan terhadap kejadian.

Menurut kenyataan pejabat media perdana menteri, pasukan keselamatan bertanggungjawab untuk melindungi penunjuk perasaan dan sebarang pelanggaran terhadap arahan al-Kadhimi akan "dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang.”

Al-Kadhimi juga menggesa rakyat Iraq supaya mematuhi perintah berkurung di seluruh negara dan arahan daripada pihak keselamatan.

Menurut laporan itu, keadaan di Baghdad menjadi tegang pada awal Isnin selepas al-Sadr memberitahu beliau akan bersara dari politik untuk selama-lamanya.

Istana Republik berada di Zon Hijau yang dikawal pasukan keselamatan dan menempatkan agensi kerajaan serta beberapa misi diplomatik asing.

Menurut saksi kejadian, pertempuran bersenjata tercetus antara penyokong setia al-Sadr dan penyokong Penyelaras Rangka Kerja pesaing, yang mempunyai kaitan dengan kuasa Syiah Iran.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa Iraq mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh negara dalam usaha untuk menghentikan rusuhan. Parti-parti di Iraq tidak dapat membentuk kerajaan baharu sejak pilihan raya pada 10 Oktober 2021. - Bernama