Terengganu sasar 5 juta pelancong

Ariffin Deraman
Ariffin Deraman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Biarpun berdepan dengan krisis kewangan global menjelang 2020, kerajaan negeri optimis jumlah sasaran 5 juta pelancong pada tahun 2020 mampu dicapai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, ia berdasarkan pencapaian statistik kedatangan pelancong sebanyak 4.79 juta pada tahun 2018.

“Berdasarkan pencapaian itu, kita merasakan sasaran untuk mencapai 5 juta pelancong masih lagi relevan.

“Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menjalankan aktiviti promosi seperti pengiklanan di enam lapangan terbang di Semenanjung Malaysia, bekerjasama dengan radio dan menggalakkan penggambaran perfileman.

“Kita juga bekerjasama dengan perantau dan pelantikan Mat Dan sebagai ikon pelancongan Terengganu,” katanya.

Jelas Ariffin, kerajaan negeri juga bekerjasama bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dalam program usaha sama empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor iaitu ‘East Coast Tourism Council’ dalam membangunkan dan mempakejkan produk-produk pelancongan yang terdapat di negeri ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, memandangkan kawasan pelancongan DUN Bukit Besi berada dalam kawalan KETENGAH (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah), kerajaan negeri bekerjasama erat dengan pihak KETENGAH dalam usaha memajukan kawasan tersebut sebagai kawasan pelancongan.

Jelasnya, ia disokong setelah pihak KETENGAH telah menjalankan Bengkel Hala Tuju Pelancongan KETENGAH baru-baru ini.

Artikel Berkaitan: