Rumah Ngaji jadi tumpuan penduduk Batu Kurau

Mohd Kazim merasmikan Rumah Ngaji yang selesa untuk penduduk mengikuti pengajian Islam dan al-Quran di Batu Kurau. (Gambar kecil: Mohd Najmuddin)
Mohd Kazim merasmikan Rumah Ngaji yang selesa untuk penduduk mengikuti pengajian Islam dan al-Quran di Batu Kurau. (Gambar kecil: Mohd Najmuddin)
A
A
A

LARUT - Rumah Ngaji Nurul Sakinah yang baharu dibina di Kampung Paya, Batu Kurau di sini, menjadi tumpuan penduduk untuk mendekati dan mendalami pengajian al-Quran.

Pengasasnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias berkata, bangunan yang turut dijadikan pusat dakwah dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) itu dibina hasil sumbangan orang ramai.

Menurutnya, bangunan yang dilengkapi dengan segala kemudahan itu dapat memberi keselesaan untuk penduduk yang belajar di pusat berkenaan.

"Rumah Ngaji ini adalah yang pertama dibina di Batu Kurau yang menawarkan tempat dan pengajian secara percuma kepada orang ramai yang mahu mendalami al-Quran dan pengajian Islam.

"Sebelum ini pengajian dilakukan di bawah khemah dan hasil wakaf serta sumbangan orang ramai kita berjaya menyiapkan bangunan yang selesa untuk mereka," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Pusat Dakwah, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Rumah Ngaji Nurul Sakinah yang disempurnakan oleh pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias di sini pada Ahad.

Mohd Najmuddin berkata, Rumah Ngaji berkenaan dapat memuatkan lebih 80 orang dalam satu-satu masa dengan pengajian dilaksanakan setiap masa.

"Inilah sumbangan untuk ALLAH dan agama Islam. Penerimaan penduduk amat menggalakkan sejak siap dibina empat bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

"Selain di masjid, Rumah Ngaji ini boleh menjadi lokasi menimba ilmu secara talaqqi iaitu melalui pembelajaran dan berguru," katanya.

Sementara itu, Mohd Kazim berkata, usaha yang dilaksanakan abangnya itu merupakan satu penghargaan buat Allahyarham ibu bapa mereka.

"Saya gembira pusat dakwah dan Rumah Ngaji ini berjaya dibuka di kampung halaman sendiri serta memberi manfaat kepada penduduk

"Saya akan balik berkhidmat di pusat ini agar mudah-mudahan dapat berkongsi pengalaman dan ilmu dengan orang kampung," ujarnya.