'Malapetaka pada skala epik'

Sebuah jalan yang musnah akibat banjir disebabkan musim monsun tahunan luar biasa yang melanda Pakistan.
Sebuah jalan yang musnah akibat banjir disebabkan musim monsun tahunan luar biasa yang melanda Pakistan.
A
A
A

SUUKUR - Wilayah Sindh di selatan Pakistan yang sudah tenggelam kini bersiap sedia untuk menghadapi gelombang banjir baharu berikutan limpahan air sungai utama ketika jumlah kematian monsun sejak Jun lalu melepasi 1,000 orang.

Ketika ini, kebanyakan sistem sungai dilaporkan semakin melimpah kerana hujan berterusan dan pencairan glasier.

Pihak berkuasa memberi amaran aliran air deras dijangka tiba di Sindh dalam tempoh beberapa hari akan datang yang dikhuatiri akan menambah kesengsaraan kepada jutaan penduduk yang terjejas banjir.

“Paras air Sungai Indus kini semakin meningkat,” kata penyelia yang mengawal aliran sungai berhampiran Sukkur, Aziz Soomro.

Keadaan itu berpotensi menyebabkan kemusnahan lebih dahsyat walaupun monsun tahunan tersebut dianggap penting untuk mengairi tanaman dan tasik takungan serta empangan di seluruh benua kecil India.

Sebagai menghadapi ancaman banjir yang belum reda, pemerintah turut mengisytiharkan darurat dan mengerahkan pasukan tentera ke kawasan teruk terjejas.

Kawasan penempatan penduduk yang ditenggelami banjir di daerah Charsadda di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Kawasan penempatan penduduk yang ditenggelami banjir di daerah Charsadda di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Menteri Perubahan Iklim, Sherry Rehman menyifatkan ia sebagai 'malapetaka pada skala epik'.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) memaklumkan banjir terburuk itu adalah setara dengan bencana pada 2010 yang meragut lebih 2,000 nyawa selain hampir satu perlima kawasan di Islamabad tenggelam.

“Aliran air sungai yang semakin deras menakutkan kami. Ia adalah isyarat jelas bahawa ribut besar akan tiba tidak lama lagi,” ujar petani, Irshad Ali, 42, yang turut mengalami kerugian besar selepas hasil tanamannya musnah dek musim tengkujuh luar biasa tersebut.

Difahamkan, kebanyakan jalan di Sukkur sudah dilimpahi banjir dan para jurutera kini bergelut untuk mengukuhkan benteng sungai sebagai persediaan akhir untuk menghadapi gelombang banjir baharu tersebut selain membuka pintu air bagi menangani aliran air lebih 600,000 meter padu sesaat.

Berhampiran Sukkur, deretan khemah sementara didirikan sepanjang dua kilometer dan penduduk masih dipindahkan secara berperingkat.

“Paras air sungai mula naik sejak Sabtu dan menenggelamkan seluruh kampung serta memaksa kami untuk berpindah,” jelas Wakeel Ahmed.

Beberapa penduduk terpaksa menggunakan rakit untuk berpindah dari kediaman mereka yang sudah tenggelam.
Beberapa penduduk terpaksa menggunakan rakit untuk berpindah dari kediaman mereka yang sudah tenggelam.

Ibu kota Islamabad dan bandar Rawalpindi dikatakan turut merasai impak walaupun kawasan itu tidak terjejas banjir.

“Bekalan makanan seperti tomato, bawang dan sayur-sayuran lain sukar diperoleh kerana banjir tersebut,” menurut peniaga di Rawalpindi, Muhammad Ismail.

Banjir dahsyat tersebut memburukkan lagi keadaan di Pakistan yang sedang berdepan kejatuhan ekonomi dan krisis politik melibatkan bekas Perdana Menteri, Imran Khan. - Agensi