Kamus Cambridge pilih 'Human' Word of the Year

Sejak 12 bulan lalu, masyarakat semakin mempersoalkan makna sebenar menjadi manusia, khususnya berikutan kebimbangan AI bakal mengambil alih pekerjaan mereka. - Foto Agensi
Sejak 12 bulan lalu, masyarakat semakin mempersoalkan makna sebenar menjadi manusia, khususnya berikutan kebimbangan AI bakal mengambil alih pekerjaan mereka. - Foto Agensi
A
A
A

LONDON – Perkataan 'Human' yang merujuk kepada sifat, kelemahan dan perasaan yang mencerminkan fitrah manusia, berbeza daripada dewa, haiwan atau mesin dinobatkan sebagai Word of the Year Kamus Cambridge.

Ahli lembaga penerbitan Cambridge University Press, Francesca Woodward berkata, pemilihan perkataan itu mencerminkan 'semangat zaman 2026' ketika dunia menyaksikan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) selain kebimbangan teknologi itu berpotensi mengancam kelangsungan hidup manusia.

Menurutnya, sejak 12 bulan lalu, masyarakat semakin mempersoalkan makna sebenar menjadi manusia, khususnya berikutan kebimbangan AI bakal mengambil alih pekerjaan mereka.

Antara perkataan lain yang turut dipertimbangkan ialah 'agent' yang merujuk kepada sistem AI berupaya melaksanakan tugas kompleks secara autonomi tanpa kawalan manusia.

Antara perkataan lain yang turut dipertimbangkan ialah 'wholesome' yang merujuk kepada sesuatu yang membawa kebaikan dan mampu meningkatkan kesejahteraan hidup seseorang dari segi fizikal, moral serta emosi.

'Dusking' turut tersenarai merujuk kepada amalan menikmati peralihan suasana siang kepada malam sebagai satu bentuk aktiviti menenangkan diri. Berasal daripada tradisi masyarakat Belanda, amalan itu kembali mendapat perhatian sebagai cara untuk mengeratkan hubungan manusia dengan alam semula jadi.

Selain itu, beberapa istilah baharu turut dimasukkan ke dalam Kamus Cambridge pada 2026 termasuk 'aura farming' yang merujuk kepada perbuatan mempamerkan personaliti atau tingkah laku yang mampu menarik kekaguman orang lain dan 'looksmaxing' iaitu usaha meningkatkan penampilan fizikal ke tahap paling menarik.

Pemilihan Word of the Year dan penambahan istilah baharu dibuat berdasarkan beberapa kriteria termasuk kekerapan sesuatu perkataan dicari menerusi laman web Kamus Cambridge.

Antara istilah yang dijangka menjadi perhatian pada 2027 ialah 'FOBO' atau 'fear of becoming obsolete' yang menggambarkan kebimbangan seseorang kehilangan relevansi apabila pekerjaannya berpotensi digantikan oleh AI.

Satu lagi istilah ialah 'weather whiplash' yang merujuk kepada perubahan cuaca secara mendadak daripada satu keadaan luar biasa kepada keadaan ekstrem yang lain.

Pada 2025, perkataan 'parasocial' dipilih sebagai Word of the Year bagi menggambarkan perasaan seolah-olah mempunyai hubungan rapat dengan individu terkenal yang tidak dikenali secara peribadi atau watak fiksyen. - AFP

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!