JMKM: Kementerian berkaitan perlu capai prestasi jualan 100 peratus

Orang ramai mendapatkan sayuran pada harga murah menerusi program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di Pasaraya Sabasun, Bukit Kecil, Kuala Terengganu. - Foto Bernama, gambar kecil: Annuar Musa
Orang ramai mendapatkan sayuran pada harga murah menerusi program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di Pasaraya Sabasun, Bukit Kecil, Kuala Terengganu. - Foto Bernama, gambar kecil: Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi menetapkan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di 639 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dilaksanakan sepenuhnya oleh kesemua kementerian yang diamanahkan menjelang 15 September ini.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana pelaksanaan program jualan di pusat JMKM itu yang bermula pada 19 Ogos lepas, setakat ini dilihat masih menunjukkan prestasi kurang memuaskan.

"Laporan dibentangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati prestasi keseluruhannya masih kurang 50 peratus... ia masih tidak cukup baik.

"Jawatankuasa ingin lihat dua minggu dari sekarang kena capai 100 peratus. Sekarang ini ada kementerian yang hanya capai 30 peratus, ada kementerian yang capai 60 peratus dan 40 peratus, atas pelbagai masalah yang dilalui bila laksanakannya,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pada Isnin.

Annuar berkata, 21 program JMKM di lokasi-lokasi kampus universiti awam juga akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu akan datang (sehingga 15 September) bagi meringankan beban mahasiswa ketika negara berhadapan detik mencabar ini.

"Cuma dalam kampus, para pelajar mungkin tidak beli bahan-bahan mentah seperti ayam dan minyak, tetapi mereka memerlukan perkhidmatan data internet, alat menulis dan makanan.

"Jadi kita serahkan pada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk melihat barang yang lazim digunakan oleh mahasiswa serta menggunakan mekanisme yang sama (JMKM) agar mahasiswa boleh beli dengan harga diskaun,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Annuar berkata, Jemaah Menteri bersetuju meluluskan semakan semula kadar biasisiwa di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) khususnya Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk semua pelajar, dalam dan luar negara.

Beliau berkata, kerajaan turut mengambil maklum mengenai biasiswa-biasiswa lain berkaitan kerajaan termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam, bagi memastikan kadar biasiswa dinaikkan selaras dengan kenaikan kadar inflasi.

"Jadi satu penyelarasan akan dibuat antara kementerian-kementerian dan apa yang telah disyorkan KPLB bagi pelajar Mara itu telah diluluskan oleh Jemaah Menteri, dan perinciannya akan dimaklumkan kementerian berkaitan.

"... secara prinsip, mengambil kira kos sara hidup pelajar dalam dan luar negara, kabinet bersetuju untuk kadar biasiswa dinaikkan dan kemudiannya diselaraskan,” katanya.

Mengenai situasi inflasi negara, Annuar berkata, berdasarkan perbandingan kadar inflasi bulan ke bulan, kenaikan inflasi bagi Julai ini menyederhana kepada 0.4 peratus berbanding 0.6 peratus pada Jun 2022.

"Trend kadar inflasi yang makin tinggi berbanding dengan tahun lepas pula, ini fenomena global yang sedang dilalui hampir kesemua negara.

”Kadar inflasi bagi Julai 2022 berbanding Julai 2021 bagi United Kingdom (10.1 peratus), negara-negara Eropah (Euro) (8.9 peratus), Amerika Syarikat (8.5 peratus), Thailand (7.6 peratus), Singapura (7 peratus), Filipina (6.4 peratus), Indonesia (4.9 peratus) dan negara kita (4.4 peratus),” kata beliau. - Bernama