Baru bebas penjara, ketua Geng Ah Hau ditahan pecah rumah

Anbalangan (tengah) menunjukan barangan yang dirampas disyaki hasil kegiatan pecah rumah pada sidang media di IPD Serdang pada Isnin.
Anbalangan (tengah) menunjukan barangan yang dirampas disyaki hasil kegiatan pecah rumah pada sidang media di IPD Serdang pada Isnin.
A
A
A

SERDANG - Seorang penjenayah tegar yang baru sahaja dibebaskan dari penjara dua bulan lalu sekali lagi ditahan kerana menjalankan aktiviti pecah rumah mewah berkumpulan di sekitar Lembah Klang.

Difahamkan lelaki tempatan berusia 36 tahun yang juga seorang penganggur itu baru sahaja dibebaskan dari tahanan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) selama dua tahun di Baling, Kedah.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, suspek yang juga ketua Geng Ah Hau itu ditahan bersama tiga lelaki dan seorang wanita dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Serdang, Kajang dan Sentul bermula pada 25 Ogos sehingga Ahad.

"Pada 22 Ogos terdapat satu kejadian pecah rumah di Jalan Pipit 3, Bandar Puchong Jaya dan dilaporkan mangsa mengalami kerugian barang berharga dianggarkan bernilai RM100,000.

"Hasil maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berjaya menangkap seramai lima suspek yang disyaki melakukan kegiatan ini," katanya pada sidang media di IPD Serdang di sini pada Isnin.

Anbalangan (tengah) menunjukkan kenderaan sewa yang digunakan suspek di IPD Serdang pada Isnin.
Anbalangan (tengah) menunjukkan kenderaan sewa yang digunakan suspek di IPD Serdang pada Isnin.

Anbalagan berkata, sindiket terbabit aktif sejak dua bulan lalu dengan menyasarkan kediaman mewah yang tidak mempunyai sistem keselamatan seperti penggera, kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada pengawal keselamatan.

"Suspek akan pecah masuk rumah yang disasarkan pada siang hari semasa penghuni tiada di rumah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek menggunakan kereta yang disewa dengan memalsukan nombor pendaftaran kereta untuk melakukan aktiviti pecah rumah dengan cara mengumpil pintu," katanya.

Beliau berkata, polis berjaya menemui pelbagai barang berharga seperti jam tangan, komputer riba, dan barang kemas disyaki hasil kegiatan pecah rumah dianggarkan bernilai RM300,000 serta peralatan untuk memecah rumah.

"Dengan tangkapan ini polis berjaya menyelesaikan tujuh kes kejadian pecah rumah di kawasan Lembah Klang," ujarnya.

Sementara itu, semakan mendapati kesemua suspek berusia lingkungan 27 hingga 46 tahun itu mempunyai antara satu hingga 46 rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan narkotik serta dua dari mereka mempunyai rekod dikehendaki.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah," ujar beliau.