Galas tanggungjawab jaga dua adik

Dari kiri, Mohamad Syazrul Haqimi, Syazliana Fatihah dan Mohomad Syahmi Danish bergambar selepas menerima bantuan Anak Prihatin Johor di Iskandar Puteri pada Isnin.
Dari kiri, Mohamad Syazrul Haqimi, Syazliana Fatihah dan Mohomad Syahmi Danish bergambar selepas menerima bantuan Anak Prihatin Johor di Iskandar Puteri pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pemergian kedua ibu bapa akibat Covid-19 menyebabkan Syazliana Fatihah Mohamad Taufik, 21, terpaksa mengambil alih tugas menjaga dan menguruskan persekolahan dua adiknya.

Syazliana Fatihah berkata, arwah ibu bapanya yang sebelum ini mencari rezeki dengan berniaga air balang dan ayam goreng di sebuah gerai di Skudai Kiri, Tampoi kembali ke rahmatullah akibat Covid-19 pada September tahun lepas.

Sejak itu, dia memikul tanggungjawab menjaga adiknya Mohamad Syazrul Haqimi, 17, dan Mohamad Syahmi Danish,14, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Abdul Rahman Yassin, Johor Bahru.

Menurut Syazliana Fatihah, bapanya meninggal dunia pada 3 September tahun lalu sebelum ibunya turut menyusul empat hari kemudian.

"Ayah dijangkiti Covid-19 pada Ogos tahun lalu. Kemudian kami sekeluarga dijangkiti Covid-19. Keadaan kesihatan ayah semakin merosot dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada 26 Ogos. Pada 1 September ayah 'ditidurkan' di unit rawatan rapi (ICU) dan meninggal dunia dua hari kemudian.

"Manakala ibu menghidap tiroid yang agak serius turut dijangkiti Covid-19 dan meninggal dunia pada 7 September," katanya ketika ditemui selepas pelancaran program Anak Johor Prihatin yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di sini pada Isnin.

Pada majlis itu, Mohamad Syazrul Haqimi dan Mohamad Syahmi Danish menerima bantuan pendidikan, pelindungan insurans dan bantuan tunai sebanyak RM1,200 setahun.

Syazlina Fatihah berkata, perbelanjaan harian dua orang adiknya banyak dibantu suami Mohd Asyraf Mohd Sari, 21.

Artikel Berkaitan:

"Saya bersama Mohd Asyraf mendirikan rumah tangga pada Mac tahun lalu. Suami meneruskan perniagaan air balang dan ayam goreng perninggalan arwah ayah.

"Kedudukan gerai terletak tidak jauh dari rumah di Kampung Skudai Kiri membolehkan saya membantu suami berniaga di samping menjaga dua adik yang masih bersekolah," katanya.

Disebalik dugaan yang melanda, Syazlina Fatihah sedar, dia perlu kuat demi melihat adik-adiknya berjaya dan meneruskan kehidupan ini.

"Kerinduan kepada ibu dan ayah memang sukar untuk diungkapkan. Setiap bulan kami adik-beradik akan menziarahi kubur ibu dan ayah," katanya.