Kelantan galak pembayaran tanpa tunai

Mohamed Fadzli (tengah) mendengar penerangan daripada seorang peniaga mengenai kaedah penggunaan pembayaran tanpa tunai.
Mohamed Fadzli (tengah) mendengar penerangan daripada seorang peniaga mengenai kaedah penggunaan pembayaran tanpa tunai.
A
A
A

MACHANG - Kerajaan negeri Kelantan sedang berusaha melibatkan semua peniaga di pasar utama negeri ini menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, antara usaha yang dilakukan ialah menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk syarikat digital dan perbankan.

Menurut beliau, peniaga di negeri ini perlu menyesuaikan diri dengan kaedah itu bagi membolehkan lebih banyak peluang perniagaan.

"Sukar atau tidak, sistem teknologi bergerak lebih maju. Kita hanya ada dua pilihan sama ada terus ketinggalan atau bergerak lebih maju.

"Peniaga akan terlepas peluang jualan jika tidak menyediakan perkhidmatan secara dalam talian kerana golongan muda lebih berminat dengan kaedah baharu," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah Digital di Pasar Besar Machang pada Isnin.

Sementara itu, beberapa peniaga di pasar berkenaan mengakui pembayaran tanpa tunai lebih memudahkan peniaga dan pelanggan.

Nurhafizah
Nurhafizah

Peniaga gerai makanan dan minuman, Nurhafizah Ahmad, 34, mengakui teruja untuk menggunakan sistem bayaran tanpa tunai dan sudah mendaftar bagi tujuan itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia mahu mengubah kaedah pembelian selepas mengambil alih perniagaan ibu bapanya sejak 16 tahun lalu.

"Ketika itu pembayaran hanya menggunakan wang tunai tetapi saya mahu mengubah kepada kaedah yang lebih mudah bagi mengelakkan keciciran wang dan kecurian terutama di kawasan sesak seperti pasar," katanya.

Siti Khadijah
Siti Khadijah

Pekerja kedai kasut, Siti Khadijah Yahya, 39, berkata, sebelum ini, ada pelanggan yang membatalkan pembelian kerana tidak mempunyai wang tunai.

Justeru, dia berharap sistem pembayaran tanpa tunai dapat menarik lebih ramai pelanggan dan dia juga tidak perlu menyimpan wang yang banyak ketika sedang bekerja.

"Pembayaran tanpa tunai juga dapat mengelakkan jenayah kecurian selain mempercepatkan urusan jual beli," katanya.