Hukuman Najib, LCS alih sokongan rakyat kepada GTA

Mukhriz ketika berucap dalam program Jelajah Sayang Bangsa Negeri Perak di Tapak Funfair Pasir Puteh, Ipoh pada Sabtu.
Mukhriz ketika berucap dalam program Jelajah Sayang Bangsa Negeri Perak di Tapak Funfair Pasir Puteh, Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pendedahan skandal kapal tempur persisir (LCS) telah melonjakkan perhatian dan sokongan kepada Gerakan Tanah Air (GTA).

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, perubahan itu dapat dirasakan dalam tempoh satu ke dua minggu ini terutama melibatkan sokongan orang Melayu.

"Dulu belum dalam perhatian, tetapi agaknya selepas LCS, pemenjaraan Najib dan sebagainya, orang ramai khususnya Melayu mula beri tumpuan kepada Pejuang dan GTA.

"Kejadian-kejadian politik terkini dalam tempoh seminggu ini, menyebabkan secara tiba-tiba perhatian kepada GTA melonjak pada tahap luar biasa. Tengok saja komen-komen di group WhatsApp dan media sosial," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Jelajah Sayang Bangsa Negeri Perak di Tapak Funfair Pasir Puteh di sini pada Sabtu.

Perak menjadi negeri kedua Jelajah Sayang Bangsa selepas Kedah.

Hadir sama, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Mukhriz mengakui, keadaan itu sesuatu yang perlu diambil kesempatan oleh Pejuang dan gabungan parti dalam GTA untuk meraih lebih banyak sokongan terutama daripada barisan pengundi muda.

Artikel Berkaitan:

"Ada hikmah penubuhan GTA kerana dilancarkan, hanya beberapa hari sebelum terdedahnya skandal LCS.

"Selang beberapa hari selepas itu, mahkamah pula buat keputusan bahawa Najib memang bersalah.

"Tak terfikir jadi begini, bukan rancangan kita pun walaupun ada yang tuduh ini rancangan Tun Mahathir, bahawa kita-kita inilah yang menganiaya," katanya.

Pada 4 Ogos lepas, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA, sebuah gabungan yang bertujuan memperkasa kaum Melayu terutama dalam bidang ekonomi dan akan meletakkan calon di 120 kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia khususnya yang mempunyai majoriti kaum Melayu.

Buat permulaan, GTA disertai empat parti iaitu Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).