Konvensyen Perikatan Nasional 2022 lulus 15 resolusi

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama presiden-presiden parti politik ketika upacara memotong kek dan pulut kuning sempena ulang tahun PN pada Konvensyen PN 2022 di MAEPS pada Sabtu. - Foto Bernama
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama presiden-presiden parti politik ketika upacara memotong kek dan pulut kuning sempena ulang tahun PN pada Konvensyen PN 2022 di MAEPS pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A
SERDANG - Memastikan calon Perikatan Nasional (PN) bersih, berintegriti dan bebas rasuah dengan mewajibkan mereka melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), adalah antara 15 resolusi yang diluluskan dalam Konvensyen PN 2022 pada Sabtu.

Menerusi resolusi itu, calon PN perlu mengisytiharkan harta dan memastikan mereka tiada kes mahkamah, seterusnya membuat aku janji untuk menolak rasuah serta salah guna kuasa.

Selain itu, memperkasa peluang melanjutkan pelajaran dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi bagi anak muda dan wanita, serta menampilkan calon boleh menang dalam kalangan tersebut dengan kuota sekitar 30 peratus untuk Pilihan Raya Umum ke-15 termasuk dalam resolusi itu.

Resolusi PN turut menetapkan untuk meningkatkan kecekapan tadbir urus kewangan dan penyampaian perkhidmatan institusi kerajaan tanpa campur tangan politik atau salah guna kuasa serta menjadikan prinsip "Prihatin Rakyat, Berintegriti dan Bebas Rasuah” sebagai landasan utama perjuangannya.

Mengenai ekonomi, PN menerusi resolusi itu bertekad membangunkan ekonomi berimpak tinggi untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan menjadikan Malaysia sebagai negara maju, makmur dan sejahtera.
Artikel Berkaitan:


Pada masa sama, resolusi itu memutuskan untuk memajukan sektor pendidikan dengan digitalisasi, mengurangkan jurang pencapaian pendidikan bandar dan luar bandar, mempercepat penyediaan dan pembaikan infrastruktur serta memperkukuhkan ekosistem pendidikan termasuk kurikulum bagi memperkasakan kemenjadian murid. - Bernama