Kelantan warta kawasan Orang Asli tanpa pemilikan kekal

Pas vice-president Datuk Mohd Amar Nik Abdullah - Foto Bernama
Pas vice-president Datuk Mohd Amar Nik Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan segelintir masyarakat Orang Asli menjual tanah yang diberikan kepada mereka membuatkan kerajaan negeri mengambil keputusan mewartakan sahaja kawasan penempatan tanpa pemilikan kekal.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, semasa Kelantan di bawah pentadbiran Almarhum Tok Guru atau Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kerajaan telah meluluskan 70 geran kepada masyarakat berkenaan ketika itu.

"Bagaimanapun perkara itu menjadi masalah besar apabila sebahagian daripada mereka yang menerima geran telah menjual tanah tersebut selepas ditawarkan pada harga yang mahal," katanya selepas diminta mengulas keluhan Orang Asli yang mahu kerajaan memberi mereka tanah selepas mendakwa penempatan menjadi sempit ekoran aktiviti pembalakan.

Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor sebelum itu merasmikan Himpunan Senaman Tua di Stadium Sultan Muhammad IV pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan masyarakat Orang Asli meminta kerajaan memberi pemilikan tanah kepada mereka susulan kawasan penempatan dan rayau yang didakwa semakin ‘mengecil’ kesan penerokaan dan pembangunan terutama di kawasan Tanah Tinggi Lojing serta pos pedalaman di sini.

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata, kerajaan negeri melihat tindakan menjual tanah itu sesuatu yang merugikan masyarakat Orang Asli itu sendiri.

Beliau berkata, hasil kaji selidik yang dilakukan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan kerajaan negeri mendapati Orang Asli memerlukan dua perkara iaitu

kawasan penempatan mereka dijaga dan tidak diusik serta kawasan untuk berkebun.

Artikel Berkaitan:

"Itu memang kita sudah tanda, kerajaan negeri tidak usik. Pembalakan tidak dilakukan berhampiran kampung mereka dan itu memang sudah jadi dasar kerajaan.

"Cuma isu kawasan rayau, kerajaan negeri tidak boleh nak tentukan. Hal ini kerana semua kawasan hutan simpan ni adalah kawasan rayau Orang Asli dan mereka bebas untuk mencari rezeki," jelas beliau.