Peminjam PTPTN bermasalah boleh buat rundingan bayaran balik

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA NERUS – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mempunyai tunggakan dan masalah dalam membuat bayaran balik pinjaman boleh datang berunding untuk penjadualan semula hutang mereka.

Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff berkata, pihaknya sentiasa terbuka, prihatin dan mengambil berat dengan masalah dihadapi peminjam dan oleh itu, pintu rundingan sentiasa terbuka di mana-mana pejabat PTPTN berhampiran mereka.

Menurut beliau, PTPTN faham ada peminjam yang terbeban dengan masalah kewangan terutama sepanjang tempoh pandemik Covid-19 akibat dibuang kerja hingga menyebabkan hutang pinjaman mereka tertunggak.

“Jadi kita minta mana-mana peminjam PTPTN yang ada hutang tertunggak dan masalah dalam membuat bayaran balik pinjaman, datang jumpa kakitangan PTPTN untuk kita buat penstrukturan balik bayaran.

“Ini penting kerana apabila ada hutang yang tertunggak, nama mereka mungkin tersenarai dalam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) dan ia akan memberi kesan kepada peminjam.

“Kita sentiasa prihatin dan #PTPTNSediaBantu merupakan inisiatif murni PTPTN untuk membantu para peminjam,” katanya kepada pemberita selepas ke Majlis Makan Malam Mesra PTPTN bersama Pengamal Media di Terengganu di sini malam Jumaat.

Apli berkata, mengikut rekod seramai lebih 2 juta peminjam atau 81.07 peratus telah membuat bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 31 Julai lalu.

Apli (berdiri, tengah) bergambar bersama pengamal media yang hadir pada Majlis Makan Malam Mesra PTPTN bersama Pengamal Media di Terengganu di sini malam Jumaat.
Apli (berdiri, tengah) bergambar bersama pengamal media yang hadir pada Majlis Makan Malam Mesra PTPTN bersama Pengamal Media di Terengganu di sini malam Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, PTPTN menghargai peminjam yang telah membuat bayaran balik pinjaman PTPTN dan bayaran balik yang diterima adalah untuk memastikan kesinambungan pinjaman kepada pelajar baharu.

Jelas beliau, sehingga 31 Julai 2022, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM12.65 bilion melibatkan 5.49 juta akaun.

“Banyak keistimewaan dan manfaat disediakan kepada pendeposit yang membuat simpanan dalam Simpan SSPN.

“Antaranya adalah pelepasan taksiran cukai ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma, Geran Sepadan sehingga maksimum RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, dijamin Kerajaan dan patuh syariah.

“Oleh itu saya menyeru agar ibu bapa membuat penabungan melalui instrumen simpanan yang diwujudkan oleh PTPTN ini bagi memastikan masa depan anak yang lebih terjamin,” katanya.