Himpunan Kapal LCS: Polis segera lengkapkan kertas siasatan

Azmi (dua kiri) menyaksikan penyerahan MoAn antara YaPEIM dan Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Selasa.
Azmi (dua kiri) menyaksikan penyerahan MoAn antara YaPEIM dan Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan segera melengkapkan kertas siasatan berkaitan perhimpunan 'Protes Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS) di pusat beli-belah di hadapan Jalan Tuanku Abdul Rahman Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berkaitan perhimpunan terbabit mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kertas siasatan itu akan disiapkan segera, sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Sehari bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi lslam Malaysia (YaPEIM) di lbu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Selasa.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan seramai 13 orang individu termasuk penganjur, ahli politik dan mahasiswa yang dikenal pasti terlibat dalam perhimpunan 'Protes Mana LCS pada Ahad akan dipanggil untuk dirakam keterangan pada Rabu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua individu itu telah dihubungi dan diminta hadir pada jam 3 petang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Pada Ahad, media melaporkan perhimpunan yang dihadiri kira-kira 100 orang bermula jam 2 petang itu turut dihadiri Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Howard Lee; Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Dalam perkembangan berasingan, Azmi berkata, pihaknya telah memeterai Memorandum Perjanjian dengan YaPEIM dalam mengukuhkan hubungan dua hala.

"Memorandum Perjanjian yang dimeterai ini bersifat kerjasama pintar yang memberi pengkhususan dalam mengumpul dan mengagihkan dana yang diterima pihak YaPEIM melalui Skim Infaq Gaji disumbang warga Polis Kuala Lumpur," ujarnya.

Beliau berkata, kerjasama selama lima tahun itu dapat memberi manfaat kepada warga Polis Kuala Lumpur.

"YaPEIM turut menyerahkan sumbangan kepada 16 keluarga warga Polis Kuala Lumpur menerusi program Inspirasi Prihatin YaPEIM dan Sinar Kasih," katanya.