[VIDEO] Polis rekod keterangan guru buat kecoh di mahkamah

Lelaki tersebut dibawa keluar pihak polis selepas lima minit membuat bising di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.
Lelaki tersebut dibawa keluar pihak polis selepas lima minit membuat bising di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan seorang lelaki yang membuat kecoh di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, keterangan guru lelaki disyaki mempunyai masalah mental itu direkod pihaknya pada jam 9.30 malam tadi (Khamis).

“Pihak polis telah datang ke rumah lelaki itu di Serendah, Hulu Selangor sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk dirakam keterangan.

“Pada masa sama, ahli keluarganya ada menunjukkan kad perubatan individu itu yang menunjukkan dia mempunyai masalah mental,” katanya pada Jumaat.

Tambahnya, tiada sebarang rampasan dibuat berkenaan kes itu.

Jelas Eng Lai, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, seorang guru disyaki mempunyai masalah mental hadir kira-kira jam 12.10 tengah hari untuk mendengar prosiding perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak di aras empat mahkamah tersebut sebelum membuat kecoh di pekarangan pintu masuk.

Petugas tidak membenarkan lelaki berkenaan memasuki kamar mahkamah kerana tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes tersebut dan mengarahkannya untuk beredar secara baik.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana memberi ucapan dengan niat mengganggu keamanan.

Lelaki tersebut dibawa keluar pihak polis selepas lima minit membuat bising di lobi kompleks mahkamah itu.