Surah Al-Sajdah bakal bergema di Masjid Al-Hijrah

Wan Nur Aziemah
Wan Nur Aziemah
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Masjid Al-Hijrah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, di sini akan bergema dengan Surah Al-Sajdah apabila dipilih sebagai lokasi utama program Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos ini.

Setiausaha Pertubuhan RumahNgaji Negeri Terengganu, Wan Nur Aziemah Wan Mohd Azmi berkata, hampir 200 peserta dijangka hadir di lokasi utama program bagi mengambil manfaat daripada Malaysia #QuranHour itu.

“Istimewa kali ini, kita membawa sebaran Al-Quran ke masjid PPR pula untuk menggalakkan semua penduduk sekitar dan kawasan berhampiran bandar sama-sama jayakan Malaysia #QuranHour selama sejam bermula 12 tengah hari.

“Bagi memastikan program ini berjalan lancar, kita turut bekerjasama dengan beberapa rakan sinergi lain terutama Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT),” katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.

Menurut beliau, bacaan surah akan diketuai oleh Qari Abdul Hadi Che Abdul Halim dan pentadabbur Mohammad Amir Kholis Lukman yang merupakan pengasas Hilwan Madani.

Wan Nur Aziemah berkata, selain masjid tersebut, beberapa sekolah di sekitar daerah berkenaan, Dungun dan kawasan lain turut mengadakan program sama bagi mengajak orang ramai menghayati surah Al-Sajdah.

Tambah beliau, Malaysia #QuranHour kali ini yang diadakan serentak di seluruh negara akan membawa solusi dari surah Al-Sajdah dengan tema Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

“Sujud membawa mesej kehambaan kepada Allah SWT. Semakin bersujud di hadapan Allah SWT, semakin terhakis rasa sombong dalam hati seorang hamba yang menghayati sujudnya.

Artikel Berkaitan:

“Bersujud bagi seorang pemimpin sangat penting dalam meraih bantuan daripada Allah SWT bagi melancarkan urusan mentadbir dan mengurus sumber. Pemimpin dan rakyat sama kedudukannya di hadapan Allah SWT. Sujud adalah kemuncak kesatuan yang terbina atas dasar ubudiyah (kehambaan) kepada Allah SWT.

“Maka, semakin tinggi rasa ubudiyah kepada Allah SWT, semakin kita berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan dengan sabar (fastabiqul khairat) pada posisi masing-masing.

“Semua pihak sama ada pemimpin mahupun rakyat, marilah bersama baca, faham dan amal surah As-Sajdah dengan menjadikan Malaysia #QuranHour yang bakal berlangsung sebagai pemangkin dan usaha ke arah baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur (negeri yang baik, aman dan diampuni Allah),” katanya.