400 peserta Malaysia #QuranHour dijangka di Taiping

Pejabat Orang Besar Jajahan Larut Matang dan Selama, Taiping akan menjadi lokasi utama bagi kawasan Taiping untuk program Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos ini. (Gambar kecil: Hanita)
Pejabat Orang Besar Jajahan Larut Matang dan Selama, Taiping akan menjadi lokasi utama bagi kawasan Taiping untuk program Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos ini. (Gambar kecil: Hanita)
A
A
A

IPOH - Rumah Ngaji Taiping menganggarkan seramai 400 peserta termasuk kanak-kanak akan menyertai Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Laman Toh Puan Halimah, Pejabat Orang Besar Jajahan Larut Matang dan Selama, Taiping pada 30 Ogos ini.

Penggerak Rumah Ngaji Taiping, Hanita Hashim berkata, selain daripada warga Rumah Ngaji di sekitar Taiping, seramai 70 kanak-kanak dari Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) berhampiran turut dijangka hadir.

Menurutnya, jemputan juga turut dihantar kepada beberapa ketua jabatan seliaan wakil-wakil masjid berhampiran dan komuniti setempat untuk bersama-sama menghayati tema pada kali ini iaitu Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia, Teguh Bersama.

"Alhamdulillah, kita mendapatkan sokongan kuat daripada Orang Besar Jajahan Larut Matang dan Selama, Orang Kaya Menteri Paduka Tuan, Datuk Wan Mohd Isa Wan Mohd Razali yang menyediakan lokasi utama untuk Malaysia #QuranHour.

"Menjadi harapan kita agar penganjuran ini berjaya disempurnakan dan paling penting surah al-Sajdah yang dipilih pada tahun ini dapat difahami serta nilai yang ada dapat diamalkan oleh peserta terlibat," katanya kepada Sinar Harian.

Hanita berkata, program berkenaan akan dimulai dengan bacaan surah al-Sajdah secara beramai-ramai dan diikuti tadabur surah berkenaan.

Menurutnya, selepas itu bagi slot pesanan kemerdekaan akan menampilkan Wan Mohd Isa sebelum Ikrar Quran Malaysia Teguh dan diakhiri dengan doa.

Jelasnya, orang ramai terutama yang berada di sekitar Taiping sangat dialu-alukan untuk turut serta di dalam program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, selain lokasi utama di Laman Toh Puan Halimah itu, Pusat Koreksional Kamunting dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Batu Kurau turut menganjurkan Malaysia #QuranHour secara serentak.