MARA mohon peruntukan RM1 bilion dalam Bajet 2023

Ahmad Fairuz (dua dari kiri) menyerahkan replika cek Program Tuisyen Pintar YPM@KPLB 2022 kepada Yayasan Pelajaran MARA diwakili Azizah (dua dari kanan).
Ahmad Fairuz (dua dari kiri) menyerahkan replika cek Program Tuisyen Pintar YPM@KPLB 2022 kepada Yayasan Pelajaran MARA diwakili Azizah (dua dari kanan).
A
A
A

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) memohon peruntukan sebanyak RM1 bilion daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dalam belanjawan 2023 yang dijangka dibentangkan Oktober nanti bagi pembangunan usahawan.

Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, peruntukan itu akan digunakan membantu usahawan bumiputera bagi pembiayaan latihan gerak pendigitalan dan menambah baik cara berniaga seterusnya membawa sampai ke tahap antarabangsa.

"Jadi saya berharap dalam bajet akan datang ini MOF dapat meluluskan lebih banyak lagi (peruntukan) untuk kita bangunkan usahawan.

"Kita juga memohon untuk menambah DanaNITA (Skim Pembiayaan Perniagaan khas Wanita) yang mendapat sambutan begitu menggalakkan dalam kalangan golongan wanita," katanya dalam sidang media selepas perasmian Kedai Emas Nur Jannah Sdn Bhd di Pekan Kuala Pilah pada Khamis.

Pada majlis berkenaan, Pemilik Kedai Emas Nur Jannah Sdn Bhd, Ahmad Faruz Huzairi menyerahkan replika cek Program Tuisyen Pintar YPM@KPLB 2022 sebanyak RM37,000 kepada Yayasan Pelajaran MARA.

Mengulas lanjut, Azizah berkata, MARA mempunyai 30,000 usahawan wanita yang aktif tetapi boleh diketengahkan sehingga ke peringkat membanggakan.

Dalam pada itu, jelasnya seiring dengan pembangunan keusahawanan, pembangunan pendidikan di Negeri Sembilan juga mendapat sambutan di kalangan usahawan dengan penglibatan usahawan membantu program berbentuk khidmat masyarakat dan sumbangan melalui Yayasan Pelajaran MARA.

"Setakat Julai 2022, seramai 11 orang usahawan telah menyumbang sebanyak RM99,000 kepada program pembangunan Pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"Ia melibatkan seperti program tuisyen harapan, program celik al-Quran, program skim anak angkat, bantuan 'one off' persekolahan dan sumbangan-sumbangan lain kepada 327 orang pelajar melalui Yayasan Pelajaran MARA," katanya.