Cacar monyet: JKN Kedah jalin kerjasama dengan Thailand

Mohd Hayati (dua dari kanan) sedang mengacau bubur asyura pada Program Asyura Perdana Pas Kawasan Pendang di sini pada Khamis.
Mohd Hayati (dua dari kanan) sedang mengacau bubur asyura pada Program Asyura Perdana Pas Kawasan Pendang di sini pada Khamis.
A
A
A

PENDANG - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Thailand untuk meningkatkan pemantauan di sempadan Malaysia -Thailand berhubung situasi semasa jangkitan cacar monyet di negara jiran berkenaan.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, sebagai negeri yang bersempadan kerjasama itu membantu JKN Kedah menerima maklumat awal berkaitan status jangkitan di negara berkenaan.

Katanya, sekiranya terdapat peningkatan kes yang mendadak langkah berjaga- jaga akan diambil segera termasuk memaklumkan kepada pelancong yang akan berkunjung ke negara terbabit.

"Kita juga akan buat " follow up" pelancong yang baru pulang dari Thailand dan mempunyai simptom virus berkenaan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Asyura Perdana Pas Kawasan Pendang di sini pada Khamis.

Menurutnya, golongan yang akan berkunjung ke Thailand dan juga yang berisiko turut dinasihatkan untuk mengambil vaksin sebagai langkah pencegahan.

"Setakat ini kaedah perubatan yang ada hanyalah melalui pengambilan vaksin untuk elakkan virus terbabit menular," katanya.

Mohd Hayati menambah, pesakit yang menghidap virus ini mudah dikenali melalui mata kasar.

"Pertamanya pesakit akan demam dan sakit urat, tetapi yang paling mudah kita nampak adalah terdapat ruam dan bintik- bintik besar yang naik serentak pada kulit.

Artikel Berkaitan:

"Jadi sekiranya berkunjung ke negara jiran elakkan berurusan dengan individu yang mempunyai gejala terbabit,"kata beliau.

Walau bagaimanapun menurutnya, cacar monyet ini tidak berjangkit melalui makanan.

"Virus berkenaan boleh merebak melalui cecair air liur, kahak, mukus dan menerusi cecair pernafasan pesakit kepada individu lain," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Thailand mengeluarkan amaran cacar monyet peringkat kebangsaan selepas mesyuarat tergempar agensi kesihatan dan menteri kesihatan awam pada 28 Julai lepas.

Setakat ini, sebanyak lima kes cacar monyet disahkan di Thailand dengan kes terbaharu membabitkan seorang wanita berusia 25 tahun.