Pelancong asing dari Thailand perlu jalani ujian cacar monyet

Setiap pelancong asing dari Thailand yang masuk ke negara ini melalui tiga pintu masuk di Kelantan perlu menjalani ujian saringan cacar monyet.- Gambar hiasan
Setiap pelancong asing dari Thailand yang masuk ke negara ini melalui tiga pintu masuk di Kelantan perlu menjalani ujian saringan cacar monyet.- Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Setiap pelancong asing dari Thailand yang masuk ke negara ini melalui tiga pintu masuk di Kelantan perlu menjalani ujian saringan cacar monyet.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Husin berkata, kawalan di tiga pintu masuk berkenaan iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor turut diperketatkan.

Menurutnya, tindakan berkenaan sebagai usaha awal membendung penularan cacar monyet susulan kerajaan Thailand meningkatkan amaran berkait penyakit tersebut di negara itu ketika ini.

"Langkah berkenaan bagi membolehkan JKNK mengenal pasti tanda-tanda berkaitan penyakit tersebut.

"Kita sudah mengaktifkan bilik gerakan untuk membuat pemantauan bagi melihat situasi dan perkembangan terkini berkait dengan jangkitan cacar monyet.

"Semua klinik-klinik kesihatan termasuk swasta sudah diingatkan supaya terus membuat laporan sekiranya mengesan jangkitan tersebut," katanya selepas diminta mengulas mengenai amaran yang dikeluarkan oleh Thailand itu.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Peringkat Wisma Persekutuan di sini pada Khamis.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor.

Dr Zaini (kanan) bersama Muhd Nor Aswadi (kiri) pada Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Peringkat Wisma Persekutuan di Kota Bharu pada Khamis.
Dr Zaini (kanan) bersama Muhd Nor Aswadi (kiri) pada Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Peringkat Wisma Persekutuan di Kota Bharu pada Khamis.

Beliau berkata, walaupun tiada jangkitan dikesan, namun JKNK sentiasa bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan.

"Pada masa yang sama kita turut menjalinkan kerjasama dengan pihak kesihatan di Thailand khususnya kawasan sempadan.

"Sekiranya mereka ada maklumat berkait dengan penyakit cacar monyet termasuklah jangkitan lain mereka akan maklum kepada kita.

"Begitulah sebaliknya, jika di Malaysia ada jangkitan penyakit berjangkit, JKNK akan memaklumkan kepada pihak negara jiran," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata, jangkitan Influenza di negeri ini semakin menunjukkan penurunan dan bertambah baik.