KPDNHEP terima 4,608 aduan penipuan dalam talian di Selangor

Mohd Zawawi (empat kiri) merasmikan Forum Kesedaran Penipuan Dalam Talian dan Pelancaran Aplikasi Whoscall di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Khamis.
Mohd Zawawi (empat kiri) merasmikan Forum Kesedaran Penipuan Dalam Talian dan Pelancaran Aplikasi Whoscall di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 4,608 aduan mengenai penipuan dalam talian diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kategori aduan tertinggi diterima ialah mengenai transaksi dalam talian iaitu sebanyak 1,156 aduan.

"Kalau dilihat daripada graf aduan diterima oleh KPDNHEP Negeri Selangor dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Julai 2022 jumlah aduan diterima ialah 4,608 aduan dan kategori aduan tertinggi ialah berkenaan transaksi dalam talian iaitu sebanyak 1,156 aduan.

"Jadi dengan jumlah yang ada ini saya percaya ada banyak lagi yang tidak mengadu," katanya selepas merasmikan Forum Kesedaran Penipuan Dalam Talian dan Pelancaran Aplikasi Whoscall di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi memuji usaha dilakukan syarikat atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan dengan penganjuran forum dan pelancaran aplikasi baharu seperti itu.

Menurutnya, penglibatan banyak pihak dalam menangani penipuan dalam talian di negeri Selangor sekaligus dapat mengurangkan jumlah kejadian jenayah dan penipuan melalui media sosial daripada terus berlaku.

"Kerajaan negeri akan membantu pihak Whoscall dalam mempromosi dan mengadakan kempen kesedaran melalui seminar dan wacana seperti ini supaya lebih ramai lagi pengguna menggunakan aplikasi supaya kita dapat mencegah lebih banyak penipuan," katanya.

Artikel Berkaitan: