Setuju lokasi batu granit porfiritik jadi geotapak baharu

Keratan laporan Sinar Harian pada 14 Ogos 2022
Keratan laporan Sinar Harian pada 14 Ogos 2022
A
A
A

IPOH - Pemilik tanah di lokasi batu granit porfiritik di Gunung Bujang Melaka dekat Kampar bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri Perak untuk menjadikan kawasan itu sebagai geotapak baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, maklum balas positif itu diperoleh hasil pertemuan antara pemilik tanah dengan pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri, Perbadanan Taman Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Tourism Perak, baru-baru ini.

"Kita mendapati dari segi geologi, lokasi batu granit porfiritik itu mempunyai nilai yang sangat tinggi untuk dijadikan sebagai geotapak. Walau bagaimanapun ada isu-isu berkaitan iaitu berkenaan tanah hak milik, keselamatan dan beberapa aspek lain perlu kita kaji sebelum sebarang keputusan dilakukan.

"Pihak JMG juga telah memulakan proses penilaian di lokasi batu granit porfiritik dengan melihat ke arah nilai geotapak yang ada di situ dan sekiranya sesuai kita akan angkat sebagai geotapak baharu dengan persetujuan pemilik tanah," katanya.

Beliau berkata ketika demikian ketika merasmikan Hari Tanah Negara Peringkat Negeri Perak 2022 mewakili Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad di sini, pada Khamis.

Nolee Ashilin berkata, pemilik tanah juga cenderung untuk membuka lokasi batu granit porfiritik untuk dikunjungi oleh orang ramai namun tahap keselamatan menjadi keutamaan dan perlu dinilai terlebih dahulu.

"Pemilik tanah pun khuatir dengan tahap keselamatan kerana apa yang telah dibangunkan (seperti pembinaan jambatan di kawasan sekitar) hanya kegunaan sendiri dan bukan untuk kegunaan pelancong," katanya.

Baru-baru ini, Nolee Ashilin dilaporkan berkata, perbincangan dan pemantauan akan dibuat dengan pihak berkaitan bagi melihat kesesuaian lokasi batu granit porfiritik itu yang berpotensi diangkat menjadi satu lagi geotapak baharu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular di pelbagai platform media sosial gambar dan video lokasi baharu dipanggil batu granit porfiritik, Gunung Bujang Melaka di Kampar di Perak yang mempunyai pemandangan menarik dan luar biasa. - Bernama